Sunday, October 21, 2012

Aurat Lelaki dan Wanita

PENGHARGAAN
Bismillahhirahmanirrahim
Assalamualaikum W.B.T
 Segala pujian dan syukur hanya untukmu Ilahi Rabbi, yang telah memberi nikmat iman dan islam kepada kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang sentiasa menginginkan umatnya berjalan pada hamparan permaidani hidayah ilahi. Syukur Alhamdulillah dengan izin dan rahmatnya dapat saya menyiapkan tugasan saya pada masa yang ditetapkan dengan jayanya. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu saya menyiapkan tugasan yang diberi kali ini. Khususnya kepada Pensyarah CTU 101 kumpulan BMD1Bh dalam jurusan analisis pelaburan iaitu En.Abdul Aziz Bin Harjin yang telah banyak memberikan tunjuk ajar dalam menyiapkan tugasan ini. Akhir sekali tidak lupa juga kepada ahli keluarga serta sahabat handai yang telah banyak memberikan tunjuk ajar serta sumbangan idea bagi menjayakan tugasan ini.

Abstrak
Sinopsis ringkas bagi keseluruhan tentang aurat lelaki dan wanita itu sendiri ialah sesuatu perkara yang tidak boleh dianggap enteng. Perkataan aurat itu sendiri merujuk kepada sesuatu yang murni yang boleh mencerminkan keperibadian serta kekuatan bagi melambangkan muslimin dan muslimat yang mengikuti serta mematuhi syariat yang telah ditetapkan oleh agama islam. Aurat merujuk kepada mana-mana bahagian tubuh badan yang wajib ditutup tidak kira lelaki atau wanita mahupun kanak-kanak.Aurat juga merujuk kepada sesuatu yang boleh menimbulkan keaiban ataupun juga boleh membawa kepada perkara-perkara fitnah.Seperti yang telah kita sedia maklum aurat wanita itu sendiri iaitu seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan, bagi lelaki pula ialah dari pusat hingga ke lutut.Selain menutup aurat para muslimin dan muslimat juga perlu mngetahui batas-batas aurat serta batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita iaitu adap-adap dalam pergaulan seharian. Perbezaan batas-batas aurat bagi seseorang itu ialah kerana hubungan keturunan serta persemendaan. Kita seharusnya menjadikan al-Quran dan AS-Sunnah sebagai ikutan dan rujukan dalam mencari keredaan Allah.Dalam konteks lain menutup aurat itu sendiri merupakan sesuatu yang wajib tidak ada istillah keterpaksaan atau menyekat keperluan mana-mana pihak, islam merupakan agama yang mudah malah dengan cari begini dapat mengukuhkan lagi agama islam itu sendiri serta tidak timbul jenayah atau fitnah yang boleh mengugat kekuatan islam itu yakni menyeksa atau menyekat kebebasan mereka.

AURAT LELAKI DAN WANITA
BERDASARKAN AL-QURAN DAN HADIS
PENDAHULUAN
    Agama islam adalah agama yang syumul, indah dan tidak menyusahkan penganutnya. Islam amat menitik beratkan soal aurat tetapi kaum muslimin dan muslimat hari ini ramai yang telah hanyut di bawa arus kemodenan tajaan barat.Kita dapat saksikan sendiri yang berlaku pada hari ini. Dalam pergaulan seharian, makan minum, cara berekonomi, bentuk dan fesyen pakaian malah didapati ada diantara kita umat islam yang tidak lagi menjadikan al-Quran dan hadith sebagai garis panduan.
    Seperti yang kita tahu, aurat melambangkan peribadi seseorang. Aurat dapat dilindungi melalui cara pemakaian yang sempurna tetapi secara batinnya adalah lambang kemuliaan seorang insan ciri-ciri penutupan aurat yang sempurna pada wanita ialah seluruh badan kecuali muka dan telapak tangan dan lelaki pula auratnya dari pusat hingga lutut. Namun, masih ada segelintir umat islam berpendapat menutup aurat adalah tidak sesuai dengan arus kemodenan pada hari ini. Kita seharusnya menjadikan al-Quran dan AS-Sunnah sebagai ikutan dan rujukan dalam mencari keredaan Allah.Sebaliknya, kita masih membangga-banggakan fesyen tajaan barat yang seperti tidak cukup kain dan mencontohi cara-cara mereka yang kebanyakannya telah terbukti membawa kesan buruk ke atas negara dan masyarakat mereka.Tidakkah kita perhatikan ingatan Allah di dalam al-Quran?firmannya


"Hai orang-orang beriman, jika kamu mentaati (mengikuti) akan orang-orang kafir itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (menjadi kafir dan sesat semula), lalu jadilah kamu orang yang rugi "
(Ali Imran ayat 149)
Sesungguhnya segala isi yang terkandung dalam al-Quran dan hadith adalah peraturan dan suruhan yang terbaik dalam mencari kehidupan yang baik.Ikutilah segala wasiat Rasulullah S.A.W untuk menjadi salah seorang penghuni syurga.

HUKUM MENUTUP AURAT
Sebelum kita membicarakan tentang bentuk dan fesyen pakaian lelaki dan wanita Islam, eloklah kita fahami terlebih dahulu kedudukan dan batas-batas aurat lelaki dan wanita serta kanak-kanak yang telah ditetapkan syariat.
Apa itu aurat?
Pengertian aurat secara umumnya berasal daripada perkataan Arab iaitu "aurah"yang bermaksud keaiban.Menurut istilah syarak pula bermaksud mana-mana bahagian tertentu pada tubuh badan manusia yang wajib ditutup.Aurat juga dapat ditakrifkan sebagai sesuatu yang terdedah atau tersingkap yang boleh menimbulkan keaiban kepada seseorang itu ataupun ianya boleh mendatangkan fitnah.
BATAS-BATAS AURAT
Perbezaan batas-batas aurat bagi seseorang ialah oleh sebab hubungan keturunan dan pertalian darah atau persemendaan (kerana pertalian akibat perkahwinan, seperti mentua, menantu, ipar dan sebagainya)serta penyusuan.
AURAT KETIKA BERSENDIRIAN
Para ulama mazhab mempunyai pelbagai pendapat tentang had menutup aurat bagi seseorang ketika bersendirian.
1.Imam hanafi dan Imam hanbali berpendapat:
Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orng yang dilarang melihat
auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian, kecuali ketika darurat atau terpaksa dibuka, seperti ketika berhadas kecil hajat atau ketika mandi. Ketika darurat diharuskan membukanya.
2.Sementara Imam Maliki dan Imam Syafie berpendapat:
Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya, cuma makruh, kecuali ketika darurat.Ketika darurat diharuskan membukanya.

BATAS AURAT LELAKI
Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan AT-Tirmizi bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya:
Seseorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain,demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.
 Para ulama mazhab mempunyai pelbagai pendapat tentang had dan batas aurat lelaki, sama ada melihat atau dilihat oleh orang lain.
1. Imam Hanafi dan Iman Hambali berpendapat:
Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat dan lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan muhramnya, kecuali kepada isterinya.Selain isterinya diharamkan melihat aurat di antara pusat dan lututnya.
Isteri boleh (harus) melihat aurat suaminya, kecuali pada kemaluannya dan demikian sebaliknya, kerana hukum suami isteri melihat kemaluan masing-masing adalah makruh.
2.Imam Maliki dan Imam Syafie berpendapat:   aurat lelaki ada dua keadaan:
1. Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang muhram dengannya.
2.Auratnya dengan perempuan yang bukan muhrimnya. Keadaan dengan golongan pertama, iaitu sesama lelaki dan perempuan yang muhram dengannya ialah diantara pusat dan lutut sahaja.Keadaan dengan golongan kedua, iaitu dengan perempuan yang bukan muhramnya ialah seluruh badannya adalah aurat bagi mereka. Ertinya seluruh badan lelaki dilarang dilihat oleh perempuan yang bukan muhramnya. Kecuali bagi Imam Maliki yang membolehkan dilihat hujung-hujung anggotanya ketika aman daripada fitnah.Sementara Shafie mengharamkan melihat dengan mata.
(Rujuk al-fiqh 'Ala al-Mazahib al-Arba'ah, jilib 1 dalam bab Mabhas Sitr al-Aurah)

BATAS AURAT WANITA
Batas aurat wanita dengan lelaki
Seperti yang telah kita sedia maklum, aurat perempuan kepada lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuh, kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ini berpandukan kepada ayat Al-Quran surah An-Nur ayat 31, al-Ahzab ayat 53 dan 59 serta riwayat beberapa buah hadis.
Firman ALLAH:
Maksudnya:
Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada.
                                    (An-Nur Ayat: 31)
Firman ALLAH:
Maksudnya:
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak perempuan kamu serta para isteri mukmin sekalian, hendaklah mereka menghulurkan JILBAB mereka keseluruhan tubuh badan mereka, kerana dengan itu mereka mudah untuk dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
                                    (al-Ahzab ayat: 59)
 Hadis riwayat Abu Daud daripada saidatina Aisyah bahawa suatu hari kakaknya, Asma binti Abu Bakar datang menghadap Rasulullah SAW sedang ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu Rasulullah SAW terus berpaling mukanya dan bersabda, maksudnya:
Wahai Asma, bila seseorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka (lelaki ajnabi) tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini (Rasulullah SAW mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangan).
Batas aurat wanita menurut ulama mazhab
Terdapat banyak pendapat tentang batas aurat wanita itu sendiri. Antara batas-batas aurat wanita yang telah ditetapkan oleh syariat menurut pendapat dan fatwa ulama mazhab ialah:
1.Di hadapan lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuh.Ertinya termasuk rambut, muka, kedua tapak tangan zahir dan batinnya, juga kedua tapak kakinya.
Hukum ini berdasarkan hadis Nabi SAW,
Maksudnya:
Sesungguhnya wanita itu aurat.
(Riwayat al-Bazar dan At-Tirmizi)
2.Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau di hadapan wanita islam yang baik akhlak, batas auratnya ialah antara pusat dan lutut. Walau bagaimanapun bagi menjaga adab serta memperhalusi akhlak, ketika berhadapan dengan lelaki yang mahram dengannya, eloklah para wanita menjaga dan menutup auratnya selain dari pusat dan lutut, agar tidak menimbulkan ghairah kepada lelaki tersebut walaupun mempunyai pertalian darah dengannya selain dapatmengelakkan daripada berlakunya fitnah serta gejala negatif seperti sumbang mahram dan lain-lain.


3.Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah akhlak, maka aurat wanita merdeka ialah seluruh badan kecuali anggota yang zahir ketika bekerja.Iaitu kepala, muka, leher dan dari dua tapak tangan hingga ke siku dan dua tapak kakinya.Selain itu diharamkan membukanya.
4.Aurat wanita sahaya (hamba wanita). Kepada lelaki yang mahram dengannya dan semasa perempuan ialah antara pusat dan lutut.Dengan lelaki bukan mahram (ajnabi) dengannya ialah seluruh tubuh.
Berikutnya diperjelaskan lagi beberapa pendapat ulama tentang batas-batas aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram).

1.Mazhab Syafie
*Pendapat pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh badan tanpa kecuali. Pendapat ini adalah yang paling sahih dalam Mazhab Syafie.
*Pendapat kedua: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh badan, kecuali muka dan dua tapak tangan yang boleh menimbulkan fitnah, maka ketika itu wajib pula menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali.
 Maksud dan takrif fitnah ialah: Apa yang lahir pada dirinya yang dengan melihatnya boleh menggerakkan nafsu syahwat.



Demikian menurut As-Soheh iaitu pendapat yang kuat daripada sahabat-sahabat Imam Syafie.
2.Mazhab hambali:
*Pendapat pertama: semua anggota badan wanita bagi lelaki ajnabi adalah aurat tanpa kecuali. Pendapat ini adalah sahih dan majoriti dalam mazhab Hambali.
*Pendapat kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi ialah aurat, kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika mendedahkan boleh menimbulkan fitnah, maka ia wajib ditutup.
3.Mazhab Hanafi
*Pendapat pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh, kecuali muka dan dua tapak tangan. Walaubagaimanapun, jika timbul fitnah, wajib juga menutupnya.
*Pendapat kedua: Seluruh anggota, kecuali muka dan dua tapak tangan hingga pergelangannya dan dua tapak kaki.
4.Mazhab Maliki:
 Bagi mazhab Maliki aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan, kecuali muka dan dua tapak tangan. Jika timbul fitnah, maka wajiblah menutup seluruhnya.
Secara keseluruhannya, empat mazhab utama dalam fiqh islam ialah mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi menetapkan bahawa aurat bagi lelaki ialah dari pusat hingga ke lutut manakala bagi wanita pula ialah keseluruhan tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan berdasarkan nas yang kuat dalam Al-Quran dan As- Sunnah.


Golongan mahram dengan wanita
1.Suami
2.Bapa sendiri (bapa kandung)
3.Bapa suami atau bapa mentua
4.Anak lelaki
5.Anak lelaki suaminya iaitu anak tiri atau anak isteri lain bagi suaminya (anak madunya atau anak bekas isteri suaminya bersama suaminya) sama ada isteri suaminya itu telah mati atau telah bercerai (masih hidup).Tapi bukan anakbekas isteri suaminya dengan suami lain yang dikahwinkan setelah bercerai dengan suaminya.
6.Saudara lelaki iaitu adik atau abang kandung seibu dan sebapa atau seibu berlainan bapa atau sebapa berlainan ibu
7.Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara)
8.Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara)
9.Wanita islam. Iaitu yang berakhlak
10.Hamba lelaki yang mereka miliki
11.Pelayan lelaki (khadam) yang sudah tidak ada syahwat kepada wanita
12.Kanak-kanak lelaki (yang bukan muhram) yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz). Dalam ayat al-Quran di atas cuma disebut 12 golongan. Sementara 5 golongan lain lagi disebut oleh hadis. Mereka ialah:
13. Anak lelaki susuan
14. Bapa susuan
14. Bapa saudara susuan, datuk susuan hingga ke atas. Dan anak saudara susuan hingga ke bawah
17. Menantu lelaki
 Dan ini adalah golongan-golongan muhram yang dibolehkan melihat aurat wanita mengikut kadar dan batas yang telah ditetapkan. Selainnya adalah dilarang.
 Dengan ini ternafi dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan wanita islam tidak bebas, kerana terpaksa sentiasa menutup seluruh tubuh badannya daripada dilihat oleh lelaki ajnabi dan sukar untuk bekerja dan bergaul.
 Tetapi tanpa kita sedari terdapat kira-kira 17 jenis lelaki yang dibolehkan melihat aurat wanita ataupun dengan erti kata lain ialah membolehkan wanita membuka aurat kepada 17 jenis lelaki ini tidak kira di rumah, di pejabat mahupun di mana-mana sahaja dengan syarat lelaki tersebut sahaja ada.
Selain itu jumlah lelaki yang tidak boleh melihat aurat wanita hanyalah satu iaitu kepada lelaki bukan mahram dan tidak termasuk dalam dalam senarai di atas. Apakah dengan satu jenis sahaja tidak boleh melihat, sedangkan terdapat 17 jenis lagi boleh melihat aurat wanita, adakah ini kita boleh menganggap bahawa hukum ALLAH tidak adil atau menyekat kebebasan wanita?
Sesungguhnya menutup aurat ini bukannya bersifat menyekat kebebasan wanita malah dapat menghindarkan diri daripada berlakunya kepada perkara-perkara negatif dan dapat memelihara diridaripada pandangan lelaki ajnabi yang boleh menimbulkan syak atau fitnah. Sesungguhnya menutup aurat adalah sifatnya keterpaksaan dan keterpaksaan itulah akan menimbulkan keikhlasan.
Batas aurat wanita sesama wanita dan mahramnya
Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan At- Tirmizi bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya:
Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita lain. Tidak boleh dua lelaki berada (tidur) dalam satu selimut.Demikian juga wanita dilarang berbuat demikian.
 Para ulama berbeza pendapat tentang batas aurat perempuan dengan perempuan atau perempuan dengan muhramnya, sama ada kerana hubungan keturunan atau persemendaan.
1.Imam Hanafi dan Imam Syafie berpendapat:
 Dalam keadaan tersebut (sesama wanita dan muhramnya), mereka diwajibkan menutup apa yang di antara pusat dan lututnya.
2.Sementara Imam Maliki dan Imam Hambali pula berpendapat:
Bagi sesama perempuan hendaklah mereka menutup di antara pusat dan lutut dan dengan lelaki muhramnya hendaklah mereka menutup seluruh tubuh, kecuali anggota-anggota tepi seperti kepala dan tangan.






Aurat wanita islam dengan wanita kafir
Walaupun kedudukan wanita dengan wanita adalah bersifat serata atau sama, tapi dalam soal penjagaan aurat dan maruah, Islam mengehadkan di antara wanita islam dengan wanita bukan islam.
 Ketika menafsir ayat surah An-Nur, yang bermaksud: Janganlah para wanita Muslimah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada wanita-wanita islam.
Ibnu Abbas berkata: Wanita muslimah hanya boleh menampakkan perhiasan kepada wanita islam dan dilarang kepada wanita bukan islam. Tidak halal wanita-wanita Yahudi dan Nasrani melihat aurat wanita muslimah.
 Menurut Ar-Razi dalam tafsir Ar-Razi bahawa aurat wanita Islam (muslimah) dengan perempuan bukan Islam ialah: Seluruh tubuh, kecuali muka dan dua tapak tangan.
Tersebut dalam riwayat hadis sahih bahawa Saidatina Umar r.a pernah mencegah wanita kafir memasuki bilik mandi bersama-sama wanita Islam.
 Imam Ar-Rafaie dan Imam An-Nawawi berkata:
Berdasarkan hadis-hadis sahih bahawa wanita kafir hanya boleh melihat anggota wanita islam yang terbuka ketika bekerja sahaja, tidak lebih daripada itu.
 Ibnu Juraij, Ubadah bin Nasaie dan Hisyam al-Qari, masing-masing melarang wanita nasrani mencium wanita islam dan melihat aurat mereka.


Dibolehkan lelaki bukan mahram melihat aurat wanita
1.Ketika hendak meminang
Ketika seseorang lelaki yang bukan mahram hendak meminang seorang wanita, Islam membolehkan melihat bahagian-bahagian tertentu yang tidak boleh dilihat pada waktu biasa tanpa ada hajat.
 Menurut dalam kitab fekah, bahawa harus bagi lelaki ajnabi yang halal bernikah dengan seseorang wanita itu melihatnya ketika ia berazam untuk meminangnya.
 Kadar sempadan aurat yang boleh dilihatnya ialah muka dan kedua tapak tangan (dari pergelangan tangan hingga ke jari)
Bahkan ada sesetengah ulama berpendapat, hukum melihat untuk tujuan meminang adalah sunat pula, kerana bertujuan untuk menambatkan hati.
 Pendapat dan hukum itu berdasarkan hadis, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya:
Apabila seseorang (lelaki) itu hendak meminang seorang wanita, digalakkan ia melihatnya, sekiranya dengan melihat bertambah mendorongnya untuk berkahwin dengannya.
(Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim)
 Sebuah hadis lain riwayat dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW pernah bertanya kepada seorang lelaki yang hendak berkahwin dengan seorang wanita: adakah kamu telah melihatnya?
Jawab lelaki itu: belum! Lalu Nabi SAW bersabda,
Maksudnya: kamu pergilah kepadanya dan lihatlah dia
   (riwayat Imam Muslim)
2.Ketika berjual beli
Ia berlaku semasa dalam urusan jual beli yang menghubungkan antara penjual dan pembeli dalam satu-satu masa, maka ketika itu diharuskan melihat wajah wanita yang ada kaitan dengan dengan urusan jual beli berkenaan.
 Sebagai contoh ialah ketika berjual beli, diharuskan melihat wajah wanita yang datang membeli barang kerana ia memudahkan proses jual beli tersebut serta berjalan dengan lancar tanpa sebarang kecacatan berlaku.
3.Doktor atau tabib, bertujuan mengubat
Ketika berurusan dengan doktor atau tabib yang tugasnya adalah untuk mengubati atau merawat pesakit wanita, maka harus baginya melihat atau menyentuh mana-mana bahagian yang perlu dirawat, tetapi dengan syarat wanita tersebut hendaklah ditemani oleh suaminya atau lelaki mahramnya atau ditemani oleh wanita yang amanah.
 Walau bagaimanapun, para ahli fekah memberi syarat bahawa keharusan itu diberi oleh syariat ialah ketika ketiadaan doktor atau tabib wanita yang boleh merawat penyakit wanita tersebut.
4.Ketika menjadi saksi
Ketika lelaki itu hendak menjadi saksi bagi menentukan apakah benar wanita itu boleh disabitkan atau tidak di dalam sesuatu kes di makhamah.
 Demikian juga dengan para kadi atau hakim mereka harus melihat wanita (sama ada ia sebagai orang tertuduh atau sebagai saksi) di dalam mahkamah.

5. Ketika mengajar
Ketika mengulas fatwa Imam An Nawawi dalam kitabnya Matan Minhaj, Imam As Subki berkata:
Melihat wanita ketika mengajar ilmu fardu ain dan ilmu-ilmu Menurut zahir dalil bahawa harus seseorang guru lelaki itu lain yang wajib wanita itu belajar, seperti belajar membaca Fatihah untuk mengesahkan sembayang. Termasuk juga di haruskan guru lelaki itu melihat murid wanita ketika mengajar ilmu fardu kifayah yang dihajati oleh umat Islam, seperti ilmu pertukangan atau jahitan bagi mencari sara hidup dan lain-lain, dengan syarat:
i)Di situ atau ketika itu tidak ada guru wanita atau mahram mereka yang mampu mengajar mereka.
ii)Ilmu yang hendak diajar itu tidak dapat disampaikan di belakang tabir.
iii)Guru yang hendak mengajar itu tercegah daripada suasana berkhalwat (ertinya bukan seorang guru dengan seorang murid sahaja).
iv)Suasana belajar atau dalam kelas itu terdapat ramai pelajar wanita.
Demikian apa yang disebut oleh Imam As-Subki dan juga Imam Ibnu Hajar dalam At-Tuhfah. Iaitu lima keadaan yang diharuskan bagi lelaki melihat aurat wanita ajnabi atau bukan mahramnya.

Aurat kanak-kanak
KANAK-KANAK Islam yang belum baligh, walaupun belum wajib menutup aurat, tetapi para ulama mempunyai pelbagai pendapat tentang aurat mereka.
1.Imam Hanafi berpendapat:
Tidak ada aurat bagi kanak-kanak lelaki berumur 4 tahun dan kurang daripada 4 tahun. Setelah melebihi 4 tahun, maka auratnya ialah qubul dan dubur, selama ia belum mempunyai keinginan seks. Tetapi jika ia telah mempunyai keinginan seks, maka tidak ada beza hukumnya dengan orang yang akil baligh (cukup umur 15 tahun) tanpa membezakan sama ada lelaki atau perempuan.
2.Imam Maliki berpendapat:
Kanak-kanak lelaki boleh dilihat dan disentuh oleh perempuan yang bukan muhrim dengannya sehingga ia berumur 8 tahun. Boleh dilihat dan tidak boleh disentuh setelah umur 12 tahun. Setelah berumur 13 tahun ke atas, hukumnya sama dengan lelaki yang sudah baligh. Sementara kanak-kanak perempuan boleh disentuh dan boleh dilihat oleh lelaki yang bukan muhramnya sewaktu berumur 2 tahur 8 bulansahaja.Setelah berumur 4 tahun hanya boleh dilihat, tetapi tidak boleh disentuh.
 Bagi mazhab Maliki, jika kanak-kanak perempuan telah melebihi 5 tahun ke atas, walaupun belum baligh, telah wajib menutup aurat kerana ia dilarang dilihat oleh lelaki bukan muhram dengannya.
3.Imam Syafie pula berpendapat:
 Aurat kanak-kanak remaja (belum baligh) sama dengan aurat lelaki yang telah baligh. Tetapi bagi kanak-kanak yang belum remaja, jika ia belum dapat membezakan sesuatu (belum mumaiyiz), ia dianggap tidak mempunyai aurat. Tetapi jika ia boleh membezakan sesuatu berserta mempunyai syahwat, hukumnya sama dengan lelaki yang baligh. Bagi kanak-kanak perempuan, jika ia belum remaja, tetapi telah berkeinginan (seks), maka hukumnya sama dengan perempuan yang telah baligh, jika tiada, maka ia tidak boleh di samakan. Cuma diharamkan melihat pada kemaluannya (faraj) bagi selain daripada orang yang bertugas mendidiknya.
4. Sementara imam Hambali berpendapat :
Tidak ada aurat bagi kanak-kanak yang berumur meningkat hingga 7 tahun,seluruh tubuh mereka boleh dipandang dan disentuh. Setelah melebihi umur 7 tahun, tetapi belum 8 tahun, jika lelaki, aurat mereka adalah qubul dan dubur. Jika perempuan, ketika umur melebihi 7 tahun, aurat mereka dengan lelaki ajnabi (bukan mahram) dengan mereka seluruh tubuh badan.

Contoh Pakaian Menurut Islam
Lelaki
1.    Menutup seluruh aurat utama, diantara pusat dan lutut dan bahagian-bahagian anggota badan yang boleh mendatangkan aib badan dan lain-lain.
2.    Longgar, luas, dan tebal sehingga tidak dapat kelihatan bentuk dan bayangan tubuh badan.
3.    Lengan ( baju ) sempit dan panjang tidak melebihi pergelangan tangan. Tidak luas seperti pakaian tradisional bangsa cina ( baju opera)
4.    Tidak labuh sehingga melebihi buku lali
5.    Tidak ada tali pinggang di bahagian luar.
6.    Bewarna gelap dan dan satu warna, tidak berwarna warni serta tidak bunga-bungaseperti pakaian dalam wanita dan tidak bercelorong-celoreng
7.    Tidak menyerupai pakaian dalam wanita.
8.    Tidak menyerupai pakain orang bukan islam dan pakaian rasmi agama lain.
9.    Bahagian kepala ditutup oleh penutup kepala seperti kopiah atau songkok atau serban atau sesuatu yang tidak menyerupai penutup kepala orang bukan islam
10.Bahagian bawah dilapik oleh pelapik kaki seperti kasut, sepatu, selipar atau sandal dan lain-lain

Contoh Pakaian Wanita
1.    Menutup seluruh badan kecuali apa yang terdapat dalam syariat mengecualikannya
2.    labuh sehingga menutup kaki atau pakai stokin
3.    Tidak ada hiasan pada pakaian
4.    Kainnya tebal yang tidak tembus dipandang
5.    Tidak sempit sehingga terlihat bentuk tubuh badan
6.    Bewarna gelap, tidak berwarna-warni
7.    Tidak menyerupai pakaian lelaki
8.    Tidak menyerupai pakaian bukan islam
9.    Tidak mencolok mata
 10.Tidak menyerupai pakaian pembesar jahiliah
 11.Tidak mengenakan bau-bauan

KESIMPULAN
Kesimpulannya, menutup aurat adalah merupakan suatu tuntutan yang wajib diikuti oleh setiap insan muslimin dan muslimat khususnya anak-anak cucu Adam SAW bagi mengikuti syariat yang telah ditetapkan oleh agama islam. Di samping itu juga adalah untuk menjadikan generasi serta pemimpin-pemimpin muda islam masa kini patuh akan syariat islam dan menjadikan Al-Quran dan As-sunnah sebagai panduan dan sumber rujukan dan mencontohi cara hidup Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabatnya. Sesungguhnya untuk mengajak manusia ke jalan kebenaran bukanlah mudah. Apalagi sekiranya diri sendiri tidak nampak pengamalan islam atau tidak di pandang oleh masyarakat. Tambahan pula generasi sekarang lebih mudah terpengaruh dengan cara pemakaian yang lebih terdedah dan mencolok mata kerana bagi mereka ialah suatu kebanggaan serta kemegahan tanpa menghiraukan tuntutan agama serta syariat islam. Namun bagi orang yang berilmu sudah menjadi kewajipan keatasnya untuk mengajak orang lain kearah kebenaran apalagi sekiranya dia sudah bergelar ulama ataupun tok guru. Ini adalah salah satu bukti betapa besarnya perhatian islam kepada umat Muhammad S.A.W serta mengharapkan supaya tetap memelihara aurat dari pandangan yang bukan mahram.


No comments:

Post a Comment