Sunday, October 21, 2012

Menyingkap Kisah Mahsyar

MENYINGKAP KISAH MAHSYAR YANG MENYAYAT HATI

Buku ini mengisahkan tentang aturcara kehidupan makhluk-makhluk Allah di akhirat kelak. Pada masa itu nanti akan ada satu mahkamah yang akan mengadili seluruh manusia serta akan disaksikan dan bersaksikan seluruh makhluk ciptaan Allah SWT. Ciptaan Allah ini termasuklah bumi di mana kita berpijak. Bumi yang didiami manusia ini akan menjadi saksi kepada segala kelakuan kita di atasnya. Tidak cukup dengan itu, hari-hari yang dilalui kita juga akan disoal siasat oleh Allah. Jika kita hidup di muka bumi ini selama seribu hari maka seribulah bilangan hari yang akan menjadi saksi. Tambahan lagi, semua makhluk Allah yang mendengar seruan azan tidak kira sama ada pokok, binatang atau apa sekalipun turut diangkat menjadi saksi kelakuan kita. Jika difikir-fikirkan semula, berapa banyakkah saksi kita di akhirat nanti? Belum lagi dikira dengan saksi yang kita sudah sedia tahu iaitu anggota badan kita, malaikat yang mencatat amalan baik dan buruk kita serta semestinya Allah SWT yang Maha Mengetahui.
    Di mahkamah akhirat nanti, bukan kita yang manusia biasa ini sahaja yang akan dihisab malah para nabi, para rasul, para malaikat serta luh mahfuz juga akan dihadapkan kepada Allah. Pada mulanya, Allah akan menyoal para malaikat bahawa sudahkah mereka (para malaikat) menunaikan tanggungjawab mereka dan sudahkan mereka menyampaikan segala perintah Allah kepada para nabi dan rasul? Lalu Allah akan bertanya pula kepada para nabi dan rasul sama ada benar atau tidak kata-kata para malaikat. Soalan yang ditujukan kepada Luh Mahfuz pula adalah tentang kitab-kitab yang ditulis Allah. Allah bertanya tentang keberadaan kitab-kitab yang ditulis-Nya. Dengan jujur Luh Mahfuz menjawab bahawa sesungguhnya kitab-kitab tersebut telah disalin oleh malaikat Jibril. Dipanggil pula Jibril untuk menghadap Allah. Bertanya lagi Allah tentang keberadaan kitab-kitab tersebut. Jawapan Jibril adalah, telah diturunkan kitab-kitab tersebut kepada para rasul iaitu kitab Zabur kepada Nabi Daud, kitab Taurat kepada Nabi Musa, kitab Injil kepada Nabi Isa dan al-Quran kepada Nabi Muhammad serta kitab-kitab yang lain.
    Setelah itu, Allah memanggil pula Nabi Nuh dan menyoal baginda adakah perintah-perintah Allah telah baginda sampaikan? Menjawab baginda bahawa sesungguhnya segala perintah dan ajaran Yang Maha Esa telah baginda sampaikan. Namun begitu, kaumnya telah berbohong dengan mengatakan bahawa mereka tidak menerima ajaran dan perintah-perintah tersebut. Pada ketika itulah, umat Nabi Muhammad akan menjadi saksi bahawa kata-kata Nabi Nuh adalah benar. Allah bertanya pula kepada umat Nabi Muhammad, bagaimanakah kamu (umat Muhammad) mengetahui tentang hal tersebut kerana hakikatnya kamu tidak lagi wujud pada ketika itu? Jawapannya adalah, sesungguhnya al-Quran telah memberitahu segala-galanya tentang peristiwa yang lalu. Setelah Allah berpuas hati, Allah akan memanggil pula nabi-nabi seterusnya sehinggalah tiba giliran Nabi Musa AS. Soalan sama dikemukakan oleh Allah dan jawapannya juga serupa dengan nabi-nabi yang lain.
    Walau bagaimanapun, Nabi Musa telah disuruh Allah untuk naik ke atas mimbar untuk membacakan kitab Taurat dari kulit ke kulit. Setelah berakhirnya bacaan Nabi Musa, dijemput pula Nabi Daud untuk membacakan kitabnya dan begitu juga dengan Nabi Isa. Bacaan-bacaan para nabi tersebut telah menyebabkan para pendengar terdiam dan terkejut kerana apa yang mereka dengar pada masa itu adalah berbeza dengan apa yang mereka dengar di dunia ini. Maka sedarlah mereka bahawa mereka telah diperdayakan oleh para rahib selama mana mereka hidup di dunia. Selesai sahaja Nabi Isa berucap, Nabi Muhammad pula diseru oleh Allah. Baginda juga disuruh Allah untuk naik ke atas mimbar untuk membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Apabila selesai semua kitab-kitab Allah dibacakan di atas mimbar, datang pula suatu suara yang mengarahkan agar orang-orang yang beriman dan orang-orang kafir untuk berpisah. Lalu Allah mengarahkan Nabi Adam untuk menghantar kiriman ke neraka. Nabi Adam bertanya, sebanyak manakah kiriman tersebut? Dan Allah menegaskan bahawa hanya satu daripada seribu sahaja yang akan masuk ke syurga.
    Buku ini bukan sahaja mengisahkan tentang saksi di akhirat, buku ini juga menerangkan tentang azab yang akan menimpa terhadap seseorang yang melakukan kesalahan. Sebagai contoh, bagi mereka yang tidak menunaikan zakat terhadap hartanya akan diseterika dengan logam dari api neraka di bahagian muka, perut dan bahagian belakang badan mereka. Logam tersebut adalah kepingan logam emas dan perak. Bagi mereka yang tidak membayar zakat binatang ternakannya pula, di akhirat nanti mereka akan dipijak-pijak dan ditanduk-tanduk oleh binatang ternakan mereka sendiri. Bagi kesalahan menipu, di akhirat nanti akan diletakkan satu bendera pada punggungnya yang menandakan seseorang itu adalah penipu. Bendera tersebut akan diusung oleh seseorang penipu di padang Mahsyar dan ia hanyalah hukuman yang ringan sebelum hukuman yang sebenar diterima oleh penipu-penipu di neraka nanti. Banyak lagi pelaku dosa yang akan menerima hukuman pada masa tersebut.
    Di samping itu, buku ini juga menceritakan tentang kumpulan-kumpulan yang akan mendapat keistimewaan daripada Allah Taala. Pertama, keistimewaan akan diberikan kepada golongan yang mempunyai masalah mata iaitu si buta sama ada mereka buta semulajadi mahu pun akibat kemalangan. Golongan ini adalah antara golongan yang terawal yang akan melihat Allah. Golongan ini akan dianugerahkan bendera dan akan berada di bawah Nabi Syuib AS dan malaikat-malaikat yang dicipta daripada cahaya untuk ke syurga. Kedua, keistimewaan kepada mereka yang menghidap penyakit kusta. Golongan ini pula akan berada di bawah naungan Nabi Ayub AS kerana baginda juga seorang pesakit kusta. Mereka yang menerima penyakit ini semasa mereka hidup adalah seorang yang tabah dan sabar. Penghidap penyakit ini telah dijauhkan oleh orang awam dan hanya boleh hidup dan berkahwin dalam kalangan mereka sahaja semasa di dunia. Ketiga, keistimewaan kepada remaja-remaja yang berakhlak mulia. Zaman remaja adalah zaman yang paling sukar untuk dilalui kerana pada peringkat ini kita akan menempuhi pelbagai dugaan dan godaan. Remaja-remaja yang dapat menghindarkan diri daripada godaan-godaan dunia akan berada di bawah panji-panji Nabi Yusuf AS kerana baginda telah mengalami zaman remaja yang sukar.
    Allah juga amat menghargai golongan yang menumpahkan air mata. Namun, air mata yang berharga di sisi Allah adalah air mata duka dan bukanlah air mata yang dipaksa semata-mata kerana harta dan seumpamanya. Air mata duka ini akan ditimbang bersama-sama dakwat para ulama’ dan darah para pejuang yang menegakkan agama Allah. Antara ketiga-tiga timbangan ini, timbangan golongan air mata adalah lebih banyak dan lebih berat. Golongan ini akan dipimpin oleh Nabi Nuh kerana air mata baginda banyak tertumpah selama baginda berdakwah hampir 1000 tahun. Darah para pejuang Allah pula yang kedua berat timbangannya, maka bersedihlah golongan para ulama’ yang banyak mencatatkan segala perintah Allah untuk disebarkan kepada umum. Walau bagaimanapun, Allah tidak pernah melupakan jasa-jasa mereka. Lalu, Allah memerintahkan agar golongan ini memberi syafaat kepada sesiapa sahaja yang mereka mahu.
    Tambahan lagi, buku ini turut menceritakan tentang Telaga Kautsar yang terdapat di akhirat. Air daripada telaga ini hanya dapat diminum oleh orang-orang yang beriman sahaja. Golongan yang terawal yang dapat menghirup air Telaga Kautsar ini adalah kaum muhajirin yang fakir miskin. Walaupun pada asalnya kaum muhajirin ini seorang yang berharta dan kaya-raya, namun apabila mereka menerima Islam serta berhijrah mereka telah meninggalkan semua harta yang mereka miliki. Terdapat juga golongan yang tidak dibenarkan untuk meneguk air daripada telaga ini. Malah mereka juga akan diusir dan dilarang untuk mendekati telaga ini. Mereka ini adalah orang-orang yang murtad,orang yang lari daripada syariat Allah serta penyokong kerajaan yang zalim. Bagi orang-orang yang munafik pula apabila mereka menghampiri telaga ini, segala kekafiran mereka akan terdedah.
    Sebelum kita dihantar ke syurga mahu pun neraka, amalan kita akan dihisab dahulu untuk menentukan hala tuju kita. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu yakin atas amalan yang kita lakukan kerana bukan semua amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah. Hal ini berlaku mungkin kerana amalan yang kita lakukan itu tidak ikhlas, tidak dilakukan mengikut akidah yang benar serta bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang. Bagi mereka yang pernah mengeluarkan perkataan ‘ah’ dan ditujukan kepada ibu bapa kita yang menandakan kita membantah kata-kata mereka maka, akan jatuh menjunamlah timbangan amal kejahatannya kerana itu adalah salah satu daripada dosa-dosa besar. Namun, berbeza pula dengan mereka yang kafir. Segala amalan yang dilakukan oleh orang-orang kafir tidak ada kebaikannya malah amalan mereka semuanya adalah amalan dosa dan kejahatan.
    Seberat-berat timbangan adalah timbangan amal yang berasaskan kalimah La Ilaha Illallah. Dalam sebuah hadis ada menceritakan tentang seorang mukmin yang tidak cukup amal kebaikannya maka datanglah Nabi Muhammad kepada mukmin tersebut serta dicampakkan sehelai kertas kecil sebesar jari ke atas timbangan itu lalu beratlah timbangan amal kebaikannya. Kertas kecil yang dicampak itu adalah syafaat yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepada umatnya yang sentiasa berselawat ke atas baginda. Oleh itu, kita mestilah sentiasa mengingati Allah dan rasul. Di samping itu, Allah akan memberi pahala kepada seseorang yang bersabar semasa dirinya ditimpa bala semasa di dunia ini. Lain pula dengan cerita tentang ‘As-habul A’araf’. ‘As-habul A’araf’ adalah orang yang memberikan amal kebaikannya kepada orang yang memerlukan pada hari timbangan tersebut.
    Terdapat beberapa cerita tentang ‘As-habul A’araf’. Seorang lelaki disuruh Allah untuk meminta sedikit amal kebaikan orang lain untuk memberatkan amal kebaikannya yang kurang sedikit itu. Maka pergilah lelaki tersebut untuk meminta sedikit amal kebaikan daripada orang lain tetapi tidak seorang pun yang mahu memberikannya walaupun orang yang diminta itu mempunyai banyak amalnya. Pada ketika dia berputus asa, datang seorang lelaki lain yang ingin memberikan amal kebaikannya kerana dia berasa amal kebaikannya tidak berguna kerana amal kejahatan lebih banyak. Setelah itu, pergilah lelaki tadi dan membawakan amal tersebut. Setelah amal kebaikannya lebih berat daripada amal kejahatan, Allah mengarah pula supaya membawa lelaki tersebut untuk berjumpa dengan-Nya. Oleh kerana dia adalah seorang ‘As-habul A’araf’ maka Allah menyuruh penderma tersebut untuk memimpin lelaki yang menerima amal kebaikannya masuk ke syurga. Sama juga ceritanya dengan seorang anak yang telah dimasukkan ke neraka ingin bertemu kembali dengan-Nya untuk memberikan amal kebaikannya yang sedikit kepada kedua-dua ibu bapanya yang dilihat hendak dimasukkan ke neraka juga. Lalu, masuklah anak tersebut ke dalam syurga serta dipimpinnya kedua-dua ibu bapanya.
    Kali ini kisah tentang orang-orang munafik pula. Orang-orang yang munafik ini akan mengaku dirinya beriman kepada Allah kerana semasa di dunia mereka ini bergaul dengan orang-orang mukmin dan mendirikan solat di belakang nabi serta turut berperang bersama nabi. Di akhirat nanti Allah akan memberi ujian kepada mereka untuk memastikan keimanan mereka. Namun, apabila Allah memerintahkan semua makhluk untuk sujud kepada-Nya orang-orang munafik ini tidak akan dapat sujud kepada Allah kerana selama mereka hidup di dunia, segala perbuatan tersebut hanyalah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk dan tidak melakukannya dengan ikhlas. Maka, terserlahlah kekafiran mereka pada ketika itu di khalayak ramai.
    Di dalam al-Quran ada menyebut bahawa setiap orang pasti akan mendekati neraka yang bermaksud melintasi titian Sirat yang merentangi neraka untuk ke syurga. Bagi umat Nabi Muhammad, tidak akan melintasi titian itu melainkan mereka melalui tujuh sekatan yang setiap satunya akan disoal dan diperiksa. Sekatan pertama, akan diperiksa syahadah mereka dan akan dipastikan mereka tidak disyirikkan. Sekatan kedua, akan diperiksa solat mereka sama ada penuh atau tidak. Jika mereka berjaya mereka akan ke peringkat seterusnya. Seterusnya sekatan ketiga, akan diperiksa puasa mereka penuh atau tidak dan memenuhi syarat atau tidak. Jika mereka melepasi sekatan ketiga ini mereka akan ke sekatan yang keempat pula yang akan ditanya tentang zakat. Pada sekatan kelima pula akan diperiksa sama ada pada masa hidupnya mereka pernah melakukan haji atau tidak. Namun pemeriksaan itu berlaku apabila latar belakang seseorang itu diperiksa iaitu dari segi setiap aspek keupayaan. Sebelum sekatan yang terakhir pula akan diperiksa tentang wuduk dan mandi hadas. Sesiapa yang sempuna wuduknya maka pada akhirat nanti anggota wuduknya akan bercahaya. Mandi hadas juga wajib sebelum kita melakukan ibadah-ibadah kepada-Nya. Kecuaian daripada melakukan hal ini amatlah dimurkai Allah. Sekatan terakhir pula akan disoal sama ada mereka pernah melakukan kezaliman semasa hidupnya atau tidak. Soalan terakhir ini soalan yang paling sukar kerana skop kezaliman ini sangatlah luas.
    Laluan Sirat ini diumpamakan seperti lebih halus daripada benang dan lebih tajam daripada pisau. Jika mereka berjaya menghadapi semua sekatan tersebut maka mereka akan sampai ke syurga. Namun mereka akan ditanya juga tentang amanah dan rahim. Rahim di sini bermaksud kekeluargaan. Berbagai-bagai cara orang melalui titian ini sehinggakan ada yang mengengsot. Tetapi sesiapa yang tidak berjaya, maka mereka akan jatuh ke neraka dan akan sampai ke dasar neraka selama tujuh puluh tahun. Mereka yang dapat melintasi titian Sirat ini bukanlah kerana kepakaran dan teknik mereka melintasinya tetapi dengan pertolongan Allah kerana Allah telah mengampunkan dosa-dosa mereka. Di dalam syurga nanti, taraf kenikmatannya juga berbeza mengikut taraf amal kebaikan mereka.
    Namun Rasulullah telah menegaskan bahawa kaum wanita lebih ramai yang akan masuk ke neraka. Maka kaum wanita haruslah mengambil perhatian terhadap kata-kata Rasulullah. Oleh itu, kaum lelaki yang diangkat menjadi ketua keluarga haruslah mendidik dan memberi ajaran agama kepada kaum wanita yang berada di dalam keluarganya. Para ulama’ berpendapat bahawa kaum wanita ramai dimasukkan ke dalam neraka kerana mereka ini kurang pendedahan agama. Para ulama’ berkata begitu kerana hanya kaum lelaki yang banyak mendengar ceramah-ceramah dan khutbah-khutbah di masjid. Kaum wanita pula hanya duduk di rumah memasak, mengemas rumah, menonton televisyen dan membaca majalah-majalah.
    Demikianlah kisah-kisah yang menyingkap kisah Mahsyar yang diceritakan di dalam buku Bertemu Janji Allah oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.


No comments:

Post a Comment