Monday, October 22, 2012

Ramadhan

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh: Ohamad Azim Mohamad Nazari
2012288496
13-9-2012

PUASA DAN BULAN RAMADHAN

Rukun Islam terbahagi kepada lima perkara. Mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu sehari semalam, puasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan. Puasa merupakan rukun Islam yang ke–3.Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan.Manakala dari segi istilah bermaksud menahan diri dari makan, minum, dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dengan niat beribadah kepada Allah S.W.T.Seseorang yang berpuasa bukan sahaja perlu menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga dari mengeluarkan kata-kata kesat, melakukan perkara yang sia-sia dan membuang masa serta bergaduh. Puasa merupakan medan menguji kesabaran seseorang itu. Dengan erti kata lain, puasa dapat memupuk sifat murni.

Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat.Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan”

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh berkat.Pada bulan ini Allah menurunkan rahmat, menghapuskan dosa-dosa dan memakbulkan doa. Pada bulan yang mulia ini juga semua pintu-pintu syurga dibuka dan semua pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan juga diikat.Semua umat Islam yang baligh, berakal, dan mampu untuk berpuasa diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan.Para ulama mengatakan bahawa kanak-kanak berusia 7 tahun hendaklah diajar berpuasa dan boleh dipukul pada umur 10 tahun jika tidak berpuasa sebagaimana seseorang kanak-kanak itu disuruh solat.Terdapat empat syarat-syarat sahnya puasa.Syarat pertama sah puasa yang adalah Islam.Tidak sah puasa seseorang kafir.Kedua berakal, puasa orang gila tidak sah sehingga dia kembali berakal.Seterusnya adalah suci dari haid dan nifas, puasa wanita yang sedang haid atau nifas tidak sah.Akhir sekali adalah dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan pada waktu haram berpuasa.Rukun puasa ada dua iaitu, niat dan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.Waktu niat puasa bermula daripada terbenam matahari, yakni masuknya waktu maghrib hingga masuknya waktu subuh.

Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki.

Terdapat beberapa perkara yang membatalkan puasa sebagai contohnya makan dan minum dengan sengaja.Sekiranya seseorang yang sedang berpuasa itu makan kerana lupa, maka puasanya tidak batal dan boleh meneruskan puasanya.Seterusnya adalah memasukkan sesuatu kedalam rongga terbuka.Ini termasuk pewangi atau penyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk udara atau air ke dalam rongga terbuka kerana ingin berwudhuk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan.Perkara berikutnya yang membatalkan puasa adalah mengeluarkan mani dalam keadaan terjaga. Sekiranya mani keluar kerana mimpi puasa seseorang itu tidak batal kerana keluarnya tanpa sengaja. Keluar darah haid dan nifas juga membatalkan puasa. Sekiranya seorang wanita itu mendapati darah haid atau nifas maka batallah puasanya, sama ada pagi, atau petang sebelum terbenam matahari. Selain itu, gila dan pitam sepanjang hari juga membatalkan puasa. Muntah dengan sengaja juga termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa dan wajib diqadha/diganti.Sekiranya muntah tanpa sengaja maka tidak batal puasanya.Akhir sekali adalah murtad.Perbuatan ini menghapuskan semua pahala kita.Mudah-mudahan kita dijauhkan dari perbuatan ini.

Perkara yang disunatkan semasa berpuasa adalah makan sahur serta melambatkannya.Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air. Menjamu orang-orang berbuka puasa.Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan

Firman Allah S.W.T: “ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ - (Surah Al-Baqarah: 183) ayat tersebut menjelaskan bahawa semua umat Islam wajib berpuasa pada bulan Ramadhan. Selain daripada puasa dibulan Ramadhan, terdapat beberapa lagi puasa yang wajib seperti puasa qadha. Sesiapa yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan hendaklah mengqadha puasa pada hari yang lain. Berikutnya adalah puasa nazar.Nazar adalah janji manusia kepada Allah S.W.T kerana menghargai nikmat yang diterima atau hajat yang dicita.

Selain daripada puasa wajib, terdapat beberapa jenis puasa sunat yang lain. Pertama adalah puasa Arafah.Puasa pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan hari. Seterusnya adalah puasa Asyura dan Tasyu’a iaitu puasa pada 9 dan 10 muharram. Puasa Syawal atau dikenali juga dengan puasa enam.Puasa ini boleh dilakukan secara berturut atau tidak dengan berpuasa enam hari dalam bulan syawal kecuali pada 1 syawal.Keempat adalah puasa Nisfu Syaaban, iaitu puasa yang dilakukan pada pertengahan awal bulan Syaaban.Puasa Ayyamul Baidh atau puasa bulan purnama. Dilakukan pada 13,14,15 hari bulan pada setiap bulan. Akhir sekali puasa Isnin dan Khamis.  

Terdapat hari-hari yang diharamkan puasa menurut Islam.Puasa pada Hari Syak pada hari iaitu 30 Syaaban.Puasa pada Hari Raya AidilFitri pada 1 Syawal.Diharamkan berpuasa pada hari ini adalah kerana untuk menyambut hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.Puasa pada Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah.Puasa pada Hari Tashriq pada 11, 12, 13 Zulhijjah.. Puasa perempuan haid & Nifas.Puasa pada Hari Arafah yakni pada 9 Zulhijjah, haram berpuasa pada hari tersebut bagi orang yang menunaikan Haji di Arafah.Namun sunat bagi umat Islam yang tidak mengerjakan haji.Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya.Seorang isteri perlu meminta izin daripada suaminya.Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa. Islam tidak menggalakkan umatnya melakukan sesuatu perkara yang akan menjejaskan kesihatan atau memudaratkan diri sendiri. Puasa untuk orang lain dan yang ghaib serta tidak diniatkan kepada Allah SWT

Namun begitu, Islam merupakan agama yang mudah dan tidak menyusahkan umatnya.Terdapat kelonggaran bagi orang yang bermusafir dan orang sakit yang berbahaya baginya jika berpuasa.Islam membolehkan mereka yang berbuka tetapi wajib mengqadha/mengganti puasa tersebut. Menurut Imam Ahmad, sekiranya seseorang itu bermusafir, lebih baik bagi nya untuk berbuka. Ini kerana Allah S.W.T suka kalau rukhsah-Nya dikerjakan. Sebagaimana Ia suka apabila kewajipan yang disuruh-Nya dikerjakan. Namun begitu, menurut Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz r.a, sekiranya seseorang itu susah untuk mengqadha/mengganti puasanya, maka lebih baik jika dia berpuasa. Wanita hamil dan wanita menyusukan juga dibolehkan berbuka sekiranya mereka bimbang akan kesihatan anak mereka. Mereka perlu mengqadha/mengganti dan memberi makan kepada orang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan.Sekiranya meraka berpuasa, maka sah puasa mereka.Islam juga membolehkan orang yang tidak kuat berpuasa kerana tua atau sakit yang tiada harapan sembuh untuk tidak berpuasa.Mereka perlu memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan.

Bulan Ramadhan merupankan bulan yang penuh keistimewaaan.Nabi Muhammad S.A.W bersabda, "Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya, setiap kebaikan digandakan dengan sepuluh kali ganda bahkan sampai seratus kali ganda. Allah berfirman; kecuali puasa; ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya. Sungguh dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan juga minumnya demi Aku.Untuk setiap orang yang puasa ada dua kegembiran; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Allah.Perubahan bau mulut orang yang berpuasa lebih baik bagi Allah di bandingkan wangian kasturi".(HR Bukhari dan Muslim).Hadis ini menerangkan betapa istimewa ibadah puasa di sisi Allah S.W.T. Antara keistimewaan lainbulan Ramadhan adalah penurunan Al-Quran pada bulan yang mulia ini. Allah S.W.T telah menurunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk dan pembeza antara yang haq dan yang batil pada bulan ini.Pada bulan Ramadhan juga umat Islam disunatkan menunaikan sembahyang terawih, yakni sembahyang malam pada bulan Ramadhan.Terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan atau 83 tahun 4 bulan dalam bulan ini iaitu malam Lailatul Qadar. Pada malam Lailatul Qadar, pintu-pintu langit dibuka dan doa dimakbulkan. Mengikut sejarah Islam, kaum muslimin telah menewaskan kaum musyrikin dalam Perang Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan.Pada bulan yang suci ini juga terjadi pembebasan Kota Makkah Al-Mukarramah. Rasulullah telah menghancurkan syirik dan berhala yang terdapat di Kota Makkah dan Kota Makkah menjadi kota Islam.

Solat terawih merupakan solat sunat yang hanya dilakukan dalam bulan Ramadhan.Solat terawih boleh dilakukan secara bersendirian atau berjemaah.Namun, adalah lebih baik sekiranya dilakukan secara berjemaah.Solat terawih boleh dilakukan sebanyak 11, 20 atau 36 rakaat.Semua umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah pada bulan puasa terutamanya pada 10 malam terakhir untuk mengejar malam Lailatul Qadar yakni malam yang lebih baik dari seribu malam.Memperbanyakkan ibadah bukan sahaja dengan berpuasa pada siang hari dan berterawih, tetapi juga dengan membaca Al-Quran, berzikir dan membuat perkara yang mendatangkan faedah.Memohon keampunan kepada Allah juga amat digalakkan kerana bulan Ramadhan merupakan bulan pengampunan.

Puasa memiliki banyak faedah dan hikmah yang dapat dimanfaatkan oleh setiap muslim, baik dari segi rohani, jasmani mahupun sosial. Puasa melatih seseorang menjadi penyabar dan tahan marah, bersifat kasih sayang, berakhlak yang mulia dan kuat jiwanya dalam mengekang hawa nafsu sehingga tidak selalu menuruti hawa nafsunya.Puasa akan mengingatkan orang yang kaya betapa besar nikmat Allah yang diberikan kepadanya dan merasa bagaimana kehidupan orang miskin ataupun yang kurang bernasib baik.

Para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik / racun-racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Banyak kejayaan beliau mengubati pesakit-pesakitnya dengan menganjurkan mereka agar berpuasa sebagai alternatif kepada ubat-ubatan moden. Dan puasa bukan sahaja dapat menjaga kesihatan dan melawan penyakit bahkan dapat juga menajamkan minda kita.

Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak.Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

Dr. Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa.Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.

Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit.Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996.Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu.Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia.Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan.

Sedangkan dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia ialah disebabkan sindrom metabolik. Sindrom ini meliputi 4 masalah iaitu: (1) glukos darah tinggi (2) Tekanan darah tinggi (3) Lipid darah tinggi dan (4) lebih berat badan atau obesiti. Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindrom metabolik yang melanda dunia masa kini.

Al-Harits seorang doktor Arab mengatakan :“Yang banyak membunuh manusia adalah kerana manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut dicerna.”

Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran telah menyatakan bahawa dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan.

Puasa dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu.Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya.Sama juga ibaratnya seperti enjin kereta yang mungkin tidak tahan lama jika dipaksa untuk sentiasa berjalan tanpa henti.
  
    Pahala puasa pada bulan Ramadhan amat besar. Sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja, bukan saja telah melakukan satu dosa besar, tetapi dia juga mengalami satu kerugian yang amat besar.Satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara sekalipun. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad Maksudnya: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).


No comments:

Post a Comment