Sunday, October 21, 2012

Sebab Doa Terhijab


DISEDIAKAN UNTUK: USTAZ ABD AZIZ BIN HARJIN
DISEDIAKAN OLEH: NURASHIKIN BINTI ABD RAHIM (2011791543)
KUMPULAN: BMD2Ac
TARIKH: 11/09/2012

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

PENGHARGAAN

 Allah berfirman dalam surah al-mu’min ayat 60 yang bermaksud.
“Dan tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepadaku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu, ”
 Namun kadangkala apa yang kita minta, masih belum dikabulkan oleh Allah walaupun kita sudah menadah tangan siang dan malam. Bersyukur ke hadrat ilahi dengan izin dan rahmatnya kita diberi pelbagai hidayah dan rezeki yang di kurniakan oleh Allah s. w. t dengan ini kita haruslah berdoa dan bersyukur kepadanya. Oleh itu, kita haruslah menunaikan segala hak Allah.

PENDAHULUAN

 Agama Islam menyuruh penganutnya supaya selalu berdoa kepada Allah SWT. Setiap doa yang terbit dari hati yang tulus ikhlas akan diperkenankan oleh Allah Yang Maha Pemurah. Allah berfirman dalam surah al-baqarah ayat 186 yang bermaksud: Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang(ALLAH) maka(JAWABLAH) Aku ini hampir. Aku memperkenankan doa orang yang memohon apabila dia bermohon padaku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi(segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaku, semoga mereka selalu mendapat panduan yang baik. ”

 Ramai umat Islam yang mengeluh bahawa doanya masih belum diperkenankan tuhan. Setiap pagi dan malam dia menadahkan tangan bermohon kepada Allah tetapi apa yang dimintanya tidak dimakbulkan. Perkara ini juga terletak pada diri pemohon itu sendiri. Kerana salah satu syarat yang penting untuk mendapat pengabulan doa dari Illahi haruslah doa itu disertai dengan hati dan jiwa yang khusyuk apabila menghadap Allah.

TIDAK MENUNAIKAN HAK ALLAH
    Bersikap kufur dan menentang hukum allah

-     Ertinya mengenali Allah ialah menyembah dan beribadat padanya, atau dengan kata lain mentauhidkan allah SWT. Jika tidak menunaikan hak Allah ialah bersikap kufur dan menentang sebarang hukum dan peraturan yang Allah turunkan. Golongan yang tidak manunaikan hak Allah juga beerti tidak mentauhidkan Allah dalam pengertian tauhid yang sebenar. Tauhid ialah mengesakan Allah, dalam erti hanya menyembah kepada Allah semata-mata dengan tidak menyekutukannya. Islam adalah kamil (lengkap) dan syamil (menyeluruh). Islam terbina di atas asa yang kukuh dan terdiri daripada rukun-rukun yang telah ditetapkan dalam Al-quran.


    Tidak tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah.

-     Islam juga ialah penyerahan diri sepenuhnya tanpa sebarang bantahan atau pengecualian kepada Allah SWT. Orang mukmin hanya akan tunduk dan patuh kepada kekuasaan dan peraturan Allah di dalam segenab urusan hidupnya, yang beerti dia menyempurnakan segala hak Allah iaitu tanggungjawab setiap muslim terhadap tugas hambanya. Tujuan utama islam diturunkan ialah untuk memperbetulkan perhambaan manusia. Inilah juga tugas utama setiap Nabi dan Rasul. Nabi Muhammad menyeru bahawa seluruh manusia supaya patuh dan memperhambakan diri pada Allah dan kukuhkan syariat Allah di muka bumi supaya benar-benar berfungsi dalam kehidupan manusia.

 Akidah yang lurus ataupun yang tersimpul di dalam kalimah “LAILAHA ILLALLAH” membawa maksud memperhambakan diri pada Allah. Akidah tauhid yang benar akan meresapi dalam setiap aspek hidup sepertimana darah dan urat saraf yang mengalir ke seluruh tubuh manusia. Akidah tauhid merupakan pentafsiran yang menyeluruh tentang kewujudan dan kehidupan manusia. Inilah rupa bentuk akidah yang harus disebati ke dalam jiwa manusia.

    Tidak mempunyai matlamat hidup

-     Tidak menunaikan hak Allah beerti tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas dan suci. Islam ialah masyarakat yang menterjemaahkan tuntutan kalimah tauhid secara menyeluruh dalam kehidupan mereka. Menunaikan hak Allah dalam erti beribadah dan mengabdikan diri secara menyeluruh kepada Allah merupakan akidah yang benar dan mampu mengangkat masyarakat islam kepada suatu darjat yang paling tinggi dan mulia. Akidah ini meletakkan masyarakat islam di tempat yang benar. Akidah ini sentiasa memperbaiki setiap langkah dan tindakan mereka dalam setiap keadaan, masa dan tempat. Akidah memimpin mereka untuk ke jalan hidup yang terang dan selamat. Orang yang mempunyai matlamat hidup yang jelas pasti akan menunaikan hak Allah, kerana ia merupakan asas bagi sempurnanya kehidupan.

 Islam diturunkan untuk memastikan bahawa hanya satu sahaja tali penghubung yang menghubungkan manusia dengan Allah. Jika manusia ikhlas beriman dengan Allah dan bertekad menerima uluhiyyah Allah, sudah tentu dia akan menerima hakimiyyah (pemerintahan) Allah. Manusia tidak akan menjadi hamba Allah yang sebenarnya melainkan apabila dia tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Tiada kekuasaan selain kekuasaan Allah, tiada syariat lain dari syariat Allah. Hamba seperti ini yang akan membentuk masyarakat islam dan bangsa islam yang hidup di bawah panji Allah.

MENGIKUT RAYUAN IBLIS

    Syaitan memperdayakan manusia

-     Di dalam kitab suci Al-quran Allah telah banyak menyatakan tentang musuhnya iaitu Iblis. Apabila ia minta kepada Allah agar dikecualikan dari salah satu perintah-nya iaitu sujud kepada Adam sebagai tanda penghormatan, maka Allah marah dan murka kepadanya. Sikap sombong iblis yang beranggapan bahawa dirinya lebih baik dan mulia dari Adam. Sejak itu, Allah telah mengeluarkannya dari dalam syurga. Antara sikap-sikap iblis yang mendorong kepada kejahatan ialah:-
a)    Memujuk agar berbuat maksiat
b)    Mengajarkan sihir
c)    Menanamkan rasa malas untuk beribadah
d)    Membisikkan kedustaan
e)    Memesongkan pemikiran
f)    Merosakkan akhlak
g)    Mengganggu solat

    Sifat dan cara iblis menggoda
1.    Musuh-musuh iblis
a.    Orang yang beriman dan berakhlak
b.    Orang kaya yang rendah hati
c.    Peniaga yang jujur dan amanah
d.    Istiqamah dalam membaca al-quran
e.    Orang yang pengasih dan penyayang
f.    Orang yang sentiasa bertaubat atas doasanya.


2.    Sahabat-sahabat iblis
a.    Orang kaya yang sombong
b.    Orang yang tidak mengeluarkan zakat
c.    Hakim yang tidak adil
d.    Dengki pada orang yang mendapat kesenangan
e.    Orang yang meringankan solat
f.    Orang yang memakan harta anak yatim

3.    Pintu hati manusia yang dimasuki iblis
a.    Putus asa dan kecewa dengan rahmat Allah
b.    Memandang remeh pada dosa kecil
c.    Memandang rendah pada orang lain
d.    Sombong, buruk sangka pada orang lain
e.    Bersikap bakhil dengan harta yang diperolehinya

4.    Senjata untuk menghalang syaitan
a.    Membaca “bismillah”
b.    Banyakkan berzikir
c.    Berwuduk sebelum tidur
d.    Menutup aurat
 Apabila kita memahami semoga kita dapat membebaskan diri daripada pengaruh rayuan iblis, ia menjadi salah satu sebab terhijabnya doa selama ini.

TIDAK MENGAMALKAN SUNAH RASUL

 Maksud mencintai Rasulullah ialah melaksanakan semua sunahnya sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis.

“Kamu mendakwa bahawa kamu mencintai Rasulullah tetapi kamu meninggalkan amalan dan sunahnya. ”kata nabi Ibrahim.

    Tanda orang yang mencintai Nabi :-

 Tandanya ialah membela sunahnya dan menegakkan syariatnya serta ingin bertemu dengannya. Maka untuk mewujudkannya ia akan mengerahkan jiwa dan harta kekayaannya. Selain itu menegakkan syariat serta melawan para penentang-penentangnya termasuk amar makruf dan nahi mungkar. Apabila kita mengamalkan sunnahnya, maka dikabulkan doanya oleh Allah SWT.

Tidak beramal untuk mendapatkan syurga
“kamu mendakwa bahawa kamu mencintai syurga tetapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya. ”
 Kita meyakini bahawa syurga itu adalah hak dan nyata akan tetapi kita tidak berusaha dan beramal untuk ke syurga.
    Sifat syurga dan ahlinya
•    Sesungguhnya di dalam syurga ada pohon besar sehingga seorang yang berkenderaan dapat berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun tidak putus naungannya. Di dalamnya terdapat kesenangan yang tidak dapat pernah di lihat mata dan tidak pernah terlintas di dalam hati manusia.
•    Apabila ahli syurga masuk dalam syurga, dan ahli neraka masuk dalam neraka, maka Allah menepati janji kepada kita, bahawa setiap orang akan di nilai timbangan berat amalannya dan memasukkan kita ke dalam syurga dan menghindarkan dari neraka.
•    Allah akan membuka hijab setiap manusia sehingga mereka dapat melihat-Nya.
•    Thuba ialah pokok di syurga yang dahannya dapat menaungi tiap rumah di syurga, di dalamnya pelbagai macam buah.
•    Setiap ahli syurga mendapat tujuh puluh perhiasan tiap perhiasan berbeza warna dengan yang lain.
•    Beramal dengan amalan ahli syurga.
•    Untuk mencapai kegemilangan tersebut adalah dengan mendidik mereka dalam muhasabah diri.
•    Seorang hamba yang murni niatnya apabila melakukan suatu perbuatan tidak mengharapkan pujian.
•    Amal soleh adalah segala kebaikan dengan mengikuti sunah Rasuluullah SAW.
 Dengan melaksanakan segala amalan-amalan ahli syurga, maka termasuklah kita ke dalam senarai mereka yang dikabulkan doa oleh Allah SWT. Oleh itu ia menjadi satu sebab terhijabnya doa kita selama ini.

 TIDAK TAKUT KEPADA NERAKA DAN BERBUAT DOSA
 Kita meyakini bahawa neraka itu hak dan nyata tetapi tidak berusaha untuk lari daripadanya. Kita percaya wujudnya neraka itu akan tetapi kenapa segala gerak laku kita munkar dan maksiat. Segala perlakuan itu boleh mendekatkan dan menjerumus diri kita ke jurang api neraka.
    Perbuatan dosa mengakibatkan doa terhijab

-     Kita haruslah meninggalkan segala bentuk dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Selama kita masih melakukan perbuatan dosa, maka selama itu pula doa kita tidak akan dikabulkan oleh Allah SWT, dan menjadi salah satu sebab terhijabnya doa dan hajat kita selama ini. Golongan ini terjerumus dalam perbuatan dosa adalah golongan yang derhaka kepada Allah SWT.

    Mengenali dosa-dosa besar

A.    Perkara yang berkaitan dengan hati
•    Menyekutukan Allah dengan makhluk (syirik)
•    Kekal melakukan maksiat
•    Putus asa dengan rahmat Allah
•    Gembira dengan azab Allah

B.    Perkara yang berkaitan dengan lidah
•    Membuat fitnah
•    Member saksian palsu
•    Melakukan sumpah palsu
•    Belanja harta saudara dengan jalan yang batil


C.    Perkara yang berkaitan dengan perut
•    Meminum minuman keras
•    Makan harta anak-anak yatim
•    Memakan harta riba

D.    Perkara berkaitan dengan kemaluan
•    Berzina
•    Meliwat

 Itulah antara dosa-dosa yang telah dibahagikan oleh para ulama mengikut hadis. Ini akibatnya padah seorang yang melakukan dosa besar akan dihumbankan ke dalam neraka jahanam. Neraka adalah seburuk-buruk tempat kembali bagi golongan yang gemar melakukan perbuatan dosa.

TIDAK MENYIAPKAN BEKALAN UNTUK MENGHADAPI KEMATIAN.
“kamu mendakwa bahawa mati itu adalah benar, tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya. ” Kita haruslah meyakini bahawa mati itu adalah hak dan harus menyiapkan bekalan untuk dibawa mati.

 Kematian adalah permulaan kepada kehidupan baru yang kekal abadi (akhirat). Yakin dengan sebenar-benarnya bahawa alam akhirat sangat dituntut kerana ia rukun iman yang kelima. “perbanyakkanlah mengingati mati, nescaya akan meremehkan berbagai kelazatan. ”

 “Berziarahlah ke kubur kerana ia dapat mengingatkan kamu kepada akhirat. Mandikan orang mati kerana mengurus jasad orang mati merupakan peringatan yang mendalam. Dan sembahyangkan jenazah kerana ia dapat menyedihkan hati kamu. ”
    Barang siapa yang banyak mengingati mati akan mengutamakan 3 perkara:
1)    Segera bertaubat, kerana yakin mati akan dating dengan tiba-tiba, tanpa disangka-sangka dan tidak mengira tempat.

2)    Berhati tenang dan sentiasa mengawasi hati dari dihinggapi dan dikotori oleh berbagai mazmumah, dan sentiasa mengingati Allah SWT.

3)    Rajin beribadah dan taat, dunia ini adalah tempat beramal dan akhirat adalah tempat perhitungan.

    Tanda-tanda orang yang melupai mati dan mati pula hatinya ialah;
1)    Menundakan taubat, akhirnya mati dalam keadaan membawa bersama dosa yang belum bertaubat.

2)    Tidak rela hidup sederhana akhirnya memburu kesenangan dan kemewahan dunia hingga lalai dari mengingati Allah. Terlalu mementing diri sendiri dan sanggup menindas orang lain.

3)    Malas beribadah, kelazatan menikmati nikmat dunia menyebabkan lenyapnya kelazatan beribadah pada Allah.

 “sesungguhnya di dalam diri seseorang itu ada seketul darah, jika baik ia maka baiklah seluruh anggota, dan jika rosak ia maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah bahawa ia adalah hati. ”

 Hati manusia telah diciptakan oleh Allah mempunyai keupayaan untuk memiliki sifat-sifat yang baik iaitu sifat ‘mahmudah’, seperti sifat lemah-lembut, sabar, insaf, simpati, penyayang.

 Setiap muslim yang sentiasa mendalami wahyu Allah pasti mempunyai keyakinan bahawa setiap insane pasti menghadapi saat kematiannya, mereka tidak ragu bahawa setiap insan akan dihidupkan dan dibangkitkan semula.
 Peristiwa di alam barzakh bagi orang-orang yang beriman dan berbekalkan amal yang soleh dan ketakwaan yang unggul, akan merasai suatu kerehatan yang damai sementara menunggu datangnya hari kebangkitan. Tetapi bagi manusia yang ingkar dan sarat dengan beban dosa maka alam barzakh itu merupakan episod ngeri yang dipenuhi azab sengsara, menjelang suatu kesengsaraan dan azab yang lebih besar akan dirasai ketika di padang mahsyar.

    Jalan ke syurga
•    Mengajar anak kewajipan sebagai seorang yang beragama islam.
•    Beramal ibadah semasa muda dan diteruskan hingga ke tua.
•    Bersedekah dan berwakaf, menderma dengan sembunyi.
•    Menjauhkan diri dan keluarga daripada berzina kerana takut kepada Allah.
 Dengan melaksanakan segala amalan untuk menyiapkan bekalan menuju kematian, maka termakbulkan segala doanya oleh Allah. Apabila kita tidak menyiapkan bekalan menuju kematian, maka ia menjadi salah satu sebab terhijabnya doa kita selama ini.


TIDAK BERSYUKUR DENGAN REZEKI ALLAH
 Kita asyik memakan nikmat Allah yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita akan tetapi kita lupa untuk mensyukuri nikmat pemberiannya. Inilah sikap manusia, iaitu tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang diberi.
    Syukur membawa nikmat
 Setiap detik dan saat sejak kita dilahirkan hinggalah dewasa ini, kita tidak putus-putus dikurniakan pelbagai nikmat. Kita seolah-olah terlupa bahawa ia adalah hadiah dan kurniaan Allah kepada kita begitulah sikap manusia yang tidak ubah seperti kacang lupakan kulit. Selagi kita hidup di muka bumi ini kita menerima kurniaan Allah, begitulah Allah yang bersifat Ar-Rahman. Sebagai makhluk Allah, kita sewajibnya merasa prihatin atas kurniaan ini lalu mensyukuri atas segala nikmat tersebut.

    Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah adalah seperti berikut:
•    Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.
•    Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
•    Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.
•    Sedekah kepada anak yatim dan sedekah wajib (zakat).
•    Mencari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat.

 Dengan mensyukuri semua nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita, maka doanya akan dikabulkan oleh Allah. Apabila kita mengkufuri nikmat-nikmat Allah, maka akan terjejas dan rosaklah keimanan kita dan ianya menjadi salah satu sebab terhijabnya doa kita selama ini. Oleh itu, kita sebagai makhluknya haruslah mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Allah berfirman dalam surah Al-mukmin ayat 60 yang bermaksud “berdoalah kamu kepadaku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu. ” Demikianlah sebab-sebab doa seseorang tidak diperkenankan Allah menurut butir-butir hikmah ini. Moga Allah menjadikan kita orang-orang mukmin yang melaksanakan kewajipan kita dengan ikhlas dan yakin.

No comments:

Post a Comment