Sunday, October 21, 2012

Panduan Solat Musafir

DISEDIAKAN UNTUK : USTAZ ABD AZIZ B. HARJIN
PENSYARAH PENDIDIKAN ISLAM
DISEDIAKAN OLEH : ROSSHAZIELLA ROZAINI  BINTI ROSNIZAN  ( 2011981795 )
PROGRAM : PENGURUSAN PERNIAGAAN
TARIKH HANTAR : 13 SEPTEMBER 2012

ABSTRAK :
Solat musafir adalah solat yang hanya boleh ditunaikan oleh orang yang bermusafir sahaja. Solat musafir terbahagi kepada dua iaitu solat Jama’ dan solat Qasar. Solat Qasar ialah solat yang dipendekkan atau diringkaskan. Seseorang yang berada dalam keadaan musafir atau dalam perjalanan diharuskan mengqasarkan solat fardunya, contoh memendekkan solat fardu Zohor yang terdiri daripada empat rakaat menjadi dua rakaat sahaja. Begitu juga dengan solat fardu Asar dan solat fardu Isyak. Ketiga-tiga solat fardu ini boleh diringkaskan menjadi dua rakaat bagi orang islam yang sedang dalam perjalanan, sebagai satu kelonggaran dan keringanan kepada mereka. Namun bagi solat fardu Maghrib yang tiga rakaat dan solat Subuh, dua rakaat, hendaklah dikerjakan secara lazimnya, kerana kedua-duanya tidak boleh diringkaskan. Manakala solat Jama’ pula ialah solat yang dikumpulkan sebagai rukhsah ( kelonggaran / keringanan ) kepada umat islam yang berada dalam keadaan musafir. Seseorang yang bermusafir diharuskan menjamak dua solat fardu dalam satu masa, seperti menjamakkan solat fardu Zohor dengan Asar dan solat Maghrib dengan solat Isyak, kecuali menjamak antara dua fardu Zohor pada hari Arafah dan dua Isyak pada malam hari di Muzdalifah, kerana kedua-duanya merupakan sunnah yang tiada pilihan untuk mengerjakannya. Hal ini berpandukan pada sebuah riwayat yang menjelaskan bahawa Rasulullah mengerjakan soat Zohor Asar di Arafah dengan satu azan dan dua iqamah dan setelah tiba di Muzdalifah, Baginda mendirikan solat Maghrib dan Isyak dengan satu azan dan dua iqamah. Solat Jama’ ini pula tebahagi kepada Jama’ Taqdim dan Jama’ Ta’khir. Jama’ Taqdim ialah mendahulukan solat. Contohnya, mendahulukan solat Asar yang pada ketika itu belum lagi masuk waktunya, tetapi dikerjakan dalam waktu Zohor secara Jama’ atau disatukan. Manakala Jama’ Ta’khir pula adalah melewatkan solat. Contohnya, melewatkan solat fardu Zohor yang pada ketika itu telah tamat waktunya, tetapi dikerjakan dalam waktu Asar secara disatukan atau jamak.

PENDAHULUAN :
Umat islam yang bermusafir haruslah bijak merancang masa perjalanan mereka. Walaupun mereka melalui perjalan yang jauh, mereka haruslah mengutamakan solat yang menjadi kewajipan setiap individu yang beragama islam. Mereka juga haruslah menjaga adab dan mengikut peraturan musafir. Iman al-Ghazali dan juga al-Iman al-Nawawi telah menggariskan beberapa adab dan tata kesopanan seseorang yang hendak bermusafir sebelm berangkat sehinggalah pulangnya ke pangkuan keluarga atau kampng halaman, lebih-lebih lagi bagi perjalanan yang jauh sama ada wajib seperti musafir kerana mengerjakan Haji dan menuntut ilmu atau sunat seperti menziarahi ibu bapa, keluarga, para ulama’ dan sebagainya ; atau tujuan yang harus seperti melancong untuk melihat negeri dan negara orang atau urusan perniagaan dan ebagainya. Maka setiap orang yang berazam hendak bermusafir adalah disunatkan solat Istikharah, kemudian dituntut supaya menghayati adab-adabnya terlebih dahulu. Terdapat beberapa jenis adab yang perlu dilakukan oleh seseorang musafir. Antaranya ialah adab sebelum musafir, adab dalam musafir dan adab ketika pulang dari musafir.

 Antara adab sebelum musafir adalah haruslah memulangkan harta manusia yang diperoleh secara zalim. Yang kedua ialah mestilah menyelesaikan hutangnya dan meminta orang-orang bersangkutan menghalalkannya. Yang ketiga ialah mestilah bertaubat kepada Allah S.W.T dari segala dosanya dan memohon kepada Allah semoga selamat dalam perjalannya. Yang keempat, haruslah memohon maaf kepada ibu bapa dan memohon keredhaan mereka, begitu juga kepada guru dan mengambil hati orang-orang yang digalakkan berbuat baik kepadanya. Yang kelima, sunat memilih hari khamis untuk pergi bermsafir, kerana baginda Rasulullah s.a.w jarang sekali keluar bermusafir melainkan pada hari khamis ataupun pada hari isnin kerana baginda berhijrah dari Makkah pada hari Isnin. Disunatkan bermusafir pada waktu pagi. Seterunya, kalau bermusafir secara rombongan tiga atau lebih, maka hendaklah dilantikseorang dari kalangan mereka yang terbaik budi pekertinya, mempunyai rasa simpati terhadap sahabat, lebih mengutamakan orang lain ( tidak mementingkan diri sendiri ) dan suka membuat keputusan secara bersama.

 Antara adab-adab dalam musafir pula ialah sentiasa menyebut perkara-perkara yang baik sahaja dan sentiasa mengelak daripada mengelurkan kata-kata yang tidak sepatutnya, dengan kata lain menjaga percakapan. Yang kedua, menampakkan budi pekerti yang mulia dan luhur, kerana orang yang bermusafir biasanya mengalami ujian dan susah derita, maka barangsiapa yang masih tetap luhur akhlaknya dalam masa safarnya ialah orang yang baik akhlaknya dan tinggi nilainya. Yang ketiga, disunatkan bagi orang yang bermusafir, bertakbir apabila menaiki tempat-tempat tinggi dan bertasbih apabila turun ketempat yang rendah seperti lurah-lurah dan sebagainya. Seterusnya, hendaklah membantu rakan-rakan serombongan yang menghadapi kesusahan.

 Orang-orang yang bermusafir meninggalkan kampung halamannya dan keluar merantau ke negeri orang, sama ada untuk menjalankan tugas jawatannya atau untuk urusan perniagaan atau untuk mengerjakan ibadat Haji di tanah suci Makkah, akan mengalami pelbagai ujian dan penderitaan yang memerlukan ketabahan hati dan kesabaran, kerana makin banyak penderitaannya, makin besar pahala yang akan didapati hasil daripada kesabarannya. Setelah selesai menjalankan tugas, janganlah berlengah-lengah lagi daripada kembali ke tanah air, kerana kaum keluarga sedang menunggu kepulangannya lebih-lebih lagi kalau anak dan isteri tidak dibawa bersama.

 Antara adab sewaktu pulang daripada musafir ialah hendaklah memberitahu ahli keluarganya tarikh kepulangannya dan waktu ketibaannya. Yang kedua, disunatkan solat sunat di masjid atau atau surau yang berhampiran. Bahkan makruh jikalau pulang ke rumah tanpa memberitahu ahli keluarganya, lebih-lebih lagi dengan mengejutkannya pada waktu malam. Baginda Rasulullah s.a.w sebelum tiba ke Madinah terlebih dahulu memberitahu kepulangannya. Baginda melarang seseorang itu pulang kerumahnya dengan mengejut pada malam hari ( tanpa memberitahu ahli rumahnya ), kerana itulah apabila beliau pulang dari safar, terus masuk ke masjid dahulu dan solat dua rakaat, kemudian barulah beliau masuk kerumah. Yang ketiga, sepatutnya seseorang itu membawa pulang oleh-oleh untuk keluagan, isteri, anak-anaknya serta kerabatnya ang lain, kerana biasanya mata seserang itu suka memandang dari setiap orang yang pulang dari musafirnya itu tanpa membawa apa-apa yang dibawanya kalau ada. Maka amatlah disunatkan bagi mengukuhkan kegembiraan denga diberika oleh-oleh atau hadiahnya itu. Yang kelima, sunat menyambut kepulangan orang musafir dari Makkah, medan jihad dan sebagainya. Akhir sekali, disunatkan membuat kenduri bagi menyambut kepulangan orang musafir, sama ada dilakukan oleh orang yang pulang itu sendiri atau orang lain, maka kenduri itu dinamakan NAQI’AH. Imam Bukhari ada meriwayatkan hadis dari Jabir r.a bahawa Rasulullah s.a.w tatkala tiba di Madinah dari safarnya lalu baginda menyembelih seekor unta atau lembu.

 Demikianlah beberapa adab dan tata-sopan bermusafir yang didasarkan kepada beberapa hadis Rasulullah s.a.w sebagaimana yang digariskan oleh ulama-ulama yang muktabar.

KONSEP SOLAT MUSAFIR JAMA’ DAN QASAR

Musafir bermaksud yang berjalan atau mengembara, sama ada berjalan kaki mahupun berkenderaan melalui daratan, lautan mahupun udara. Dalam islam terdapat beberapa hukum yang berkaitan dengan safar ( perjalanan ), diantara lainnya ialah diharuskan Qasar dan Jama’ solat ( sembahyang ), menyapu khuf (sejenis kasut yang tertentu ) selama tiga hari tatkala berwuduk dengan dengan syarat-syaratnya yang khusus dan berbuka puasa Ramadhan. Berdasarkan buku yang telah dikaji, penulis buku kecil telah membicarakan hokum-hukum solat musafir yang mana islam telah memberikan kemudahan dalam melakukan solat secara Qasar dan Jama’ dengan syarat-syaratnya yang tersendiri.


DALIL-DALIL KEHARUSAN SOLAT QASAR

PERTAMA : AL-QURAN

Allah S.W.T. berfirman dalam surah an-NISA’, ayat 101, yang bermaksud :

 “ Apabila kamu berjalan di muka bumi ( musafir ) kerana berperang, berniaga atau lainnya, maka tidaklah menjadi kesalahan keatas kamu memendekkan solat yang empat rakaat itu dijadikan dua sahaja, jika kamu takut diserang oleh musuh yang kafir itu ”.


KEDUA : AS-SUNNAH

Terdapat beberapa hadis mutawatir menjelaskan bahawa baginda Rasulullah s.a.w seringkali melakukan solat Qasar dalam perjalanannya seperti Haji, Umrah atau berperang, di antara lainnya hadis yang diriwayatkanoleh Abdullah Bin ‘Umar beliau berkata :

 “Aku telah bersahabat dengan Nabi s.a.w. Maka beliau solat dalam masa musafir tidak melebihi dua rakaat, demikian juga Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Uthman ”.  (RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM )

KETIGA : IJMA’

Seluruh para Ulama’ Mujtahidin berpendapat bahawa orang musafir adalah harus mengqasarkan solatnya. Menurut Iman Syafi’i, solat Qasar bukanlah satu perkara yang wajib, tetapi satu kemudahan ( rukhsah ) bagi orang yang musafir dan kemudahan yang telah diberikan oleh Allah itu eloklah dilakukan, dalam pada itu kata beliau lagi, jika ada yang tidak mengqasarkan solat dalam masa musafir maka solat itu sah juga.
 Jelasnya orang musafir diberi rukhsah oleh Allah S.W.T dalam mengerjakanperintah-perintah syara’ yang tertentu.
 Rukhsah itu lebih afdal diamalkan kerana ia bukan sahaja dibenarkan, bahkan diredhai Allah S.W.T. Ini diterangkan dalam hadis yang berikut, yang membawa maksud :

 Dari Ibn ‘Umar r.a katanya, Raulullah s.a.w bersabda, “ Sesungguhnya Allah suka ( redha ) supaya rukhsah-rukhsah yan diberikan –Nya diamalkan sebagaimana Ia tidak suka perkara-perkara maksiat dilakukan ”. (RIWAYAT IMAM AHMAD)

DALIL HARUS JAMA’ TAQDIM

Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Mu’az bin Jabal :

 “ Bahawasanya baginda Nabi s.a.w dalam peperangan Tabuk apabila baginda hendak berangkat lepas Maghrib, baginda segerakan solat Isyak lalu baginda solat Isyak bersama Maghrib ”.

 (RIWAYAT AT-TARMIZI)

DALIL HARUS JAMA’ TA’KHIR

Diantara hadis riwayat Anas bin Malik :

 Anas berkata, “Baginda Rasulullah s.a.w apabila hendak berangkat sebelum gelincir matahari, beliau ta’khirkan ( kemudiankan ) Zuhur kepada waktu Asar, kemudian beliau turun berhenti menjama’kan keduanya ( Zuhur dan Asar ). Maka jika matahari sudah gelincir sebelum berangkat, baginda solat Zohor dahulu, kemudian barulah baginda menaiki kenderaan ”. (RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM)

PENUTUP :
Kesimpulannya, solat musafir ini adalah bertujuan untuk meringankan beban umat islam dalam beribadah. Jelaslah Allah Maha Pemurah Lagi Maha penyayang. Allah memudahkan lagi cara untuk orang islam bermufir. Oleh itu, tiadalah halangan bagi umat islam untuk tidak melakukan solat. Solat musafir ini juga menunjukkan kepada umat islam betapa pentingnya solat fardhu itu. Solat juga dapat dilakukan dalam pelbagai keadaan mahupun kita dalam keadaan sakit, jika tidak terlalu teruk ianya tetap wajib ditunaikan walaupun dengan hanya solat menggunakan hati. Dengan melakukan solat kita dapat meningkatkan iman dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. Tanda-tanda orang yang kuat imannya ialah tidak mudah untuk melakukan larangan Allah S.W.T, tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang melalaikan, sentiasa mengingati mati, sentiasa memohon keampunan dan keredhaan daripada Allah S.W.T, tidak meninggalkan solat fardhu, memperbanyakkan membaca al-Quran dan berselawat ke atas Nabi s.a.w dan taat serta patuh kepada ajaran Allah S.W.T dan agama islam.
 Mereka juga akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan mereka kepada Allah. Contohnya, mereka tidak mudah mengeluh jika dtimpa musibah dan mereka akan sentiasa berdoa serta redha dengan setiap apa yan telah berlaku tanpa merungut dan menyalahkan takdir.


No comments:

Post a Comment