Sunday, October 21, 2012

Mencari Ketenangan Jiwa

DISEDIAKAN UNTUK :Ustaz Abdul Aziz Bin Harjin
DISEDIAKAN OLEH :Ridhuan Bin Zulkifli( 2011933089 )
PROGRAM :DIPLOMA PENGAJIAAN PERNIAGAAN
TARIKH HANTAR :11 SEPTEMBER 2012

1.2 ABSTRAK
Mencari ketenangan jiwa merangkumi kehidupan seharian manusia.Fitrah semulajadi manusia inginkan ketenangan jiwa. Jikalau ketenangan dan kebahagiaan tergugat di dalam kehidupan manusia, seseorang individu itu akan menjadi tidak tentu arah, resah dan gelisah. Tetapi harus ingat, setiap masalah yang timbul tentu ada kebaikan dan keburukannya.Terpulanglah kepada individu tersebut untuk mengambil langkah-langkah yg sepatutnya bagi menangani masalah tersebut. Orang-orang yang mengenal dan mentaati Allah S.W.T dengan sebaik-baiknya akan yakin akan bahawa Allah S.W.T yang mengatur kehidupannya. Tiada yang paling indah di dalam hidup ini kecuali dapat melihat Allah S.W.T dalam pelbagai situasi, sesungguhnya Allah S.W.T mampu melakukan segalanya.

1.3 PENDAHULUAN

Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izinnya saya dapat menyiapkan kerja kursus saya mengenai “ Mencari Ketenangan Jiwa “. Tidak lupa juga kepada pensyarah saya iaitu Ustaz Abdul Aziz Bin Harjin kerana banyak memberi maklumat dan membantu saya sepanjang saya menyiapkan kerja kursus ini.Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada rakan-rakan saya yang telah banyak membantu saya menjalankan kerja kursus ini.Saya berharap dengan siapnya kerja kursus ini dapat membantu diri saya sendiri dalam mencari ketenangan diri.Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang membantu saya secara langsung ataupun tidak langsung dalam menyiapkan kerja kursus ini.

1.4 KONSEP
Ketenangan jiwa dari segi bahasa ialah sumber kebahagiaan. Sebagai contoh, seseorang individu itu tidak akan mengalami tekanan perasaan jika mendapat ketenangan jiwa.
Dari segi istilah pula bermaksud sumber ketenangan jiwa yang dianugerahkan Allah SWT kepada hambaNya.

Allah SWT berfirman :-
"Wahai orang-orang yang beriman, Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..." (Surah At Tahrim: 8)
Firman Allah SWT lagi :-
"... Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri." (Surah Al-Baqarah: 222)

1.5 HURAIAN
Salah satu cara untuk mencari ketenangan jiwa ialah mengenal Allah SWT. Secara am nya manusia mempunyai keinginan untuk mencintai dirinya, kesempurnaan serta mencintai kewujudannya tetapi sebaliknya manusia lebih membenci hal-hal yang dapat menghancurkan atau memutuskan kesempurnaan itu. Orang yang kaya sering dipuji-puji manakala orang yang miskin terus dihina dan dicaci.Begitulah tabiat manusia masa kini.Kelebihan yang ada pada seseorang individu seharusnya menjadi jalan supaya lebih mencintai Allah SWT. Seseorang muslim seharusnya memahami bahawa keindahan cinta yang hakiki ialah ketika mencintai Allah SWT. Bagi seorang muslim, makrifatullah adalah bekalan untuk meraih prestasi hidup setinggi-tingginya tetapi sebaliknya tanpa makrifatullah tidak mungkin seseorang muslim itu akan memiliki keyakinan dan keteguhan dalam hidupnya. Makrifatullah adalah jalan yang akan meluruskan orentasi seorang Muslim dan disinilah dia akan menyedari hidupnya bukan untuk sesiapa kecuali hanya untuk Allah SWT. Jikalau seseorang muslim itu hidup dengan menegakkan prinsip-prinsip makrifatullah, insyaAllah alam semesta Allah SWT akan tunduk kepadanya. Maka berbahagialah bagi orang-orang yang sentiasa berusaha mengenal Allah SWT dengan dianugerahkan ‘rukyah shadiqah’ ( penglihatan hati yang benar ). Oleh itu, makrifatullah adalah sangat penting dalam merevolusikan peribadi seseorang untuk berubah kearah kebaikan ataupun dengan kata lain perubahan yang dasyat dan hakiki itu boleh terjadi ketika seorang itu mempunyai keyakinan diri kuat kepada Allah SWT. Di samping mengambil makrifatullah sebagai landasan hidup, Rasullullah SAW boleh dijadikan sebagai ikutan. Allah SWT berfirman di dalam ayat al-Ahzab ayat 21 iaitu :“Sungguh pada diri Rasullullah SAW itu terdapat teladan yang baik bagi kamu, ( iaitu ) bagi siapa yang mengharap ( rahmat ) Allah dan ( kebahagiaan ) hari akhir dan ia menyebut Asma Allah.. “ Setiap orang akan dapat menemukan diri Nabi Muhammad SAW sebagai satu teladan yang luhur yang akan memberikan mereka rahmat ilahi serta kebahagiaan ukhrawi. Tidak kiralah siapapun semuanya dapat menimba sumber yang tidak pernah putus ini.Kemurahan dan keredhaan hari Rasullullah SAW begitu menonjol.Keramahan dan kasih sayang baginda merangkumi semua orang. Ini dapat dilihat apabila seorang anak terkencing di pangkuan beliau, pengasuhnya merebut sang anak dengan kasar. Maka baginda menegurnya.“ Biarlah dia kencing. Ini ( sambil menunjukkan pakaian beliau yang basah ) dapat dibersihkan dengan air. Tetapi apa yang menjernihkan kekeruhan hati anak ini akibat renggutan yang keras ? “.Semoga Allah SWT dapat mengurniakan kepada kita kemampuan untuk mengikut jejak langkah Baginda Rasullullah SAW sebagai insan yang benar-benar telah dipilih oleh Allah SWT menjadi rahmat bagi alam semesta.
Langkah kedua ialah seseorang muslim itu haruslah mempunyai akhlak yang mulia. Sesungguhnya mudah mengatakan secara kata-kata bahawa tiada tuhan melainkan Allah, akan tetapi apakah selancar itu pula ketauhidan mengalir dalam darah kita, sehinggakan mendorong seluruh anggota badan menuju kesamaan antara ikrar dan amal perbuatan. Kita boleh berkata bahawa tauhid telah bersepadu dalam tubuh kita tetapi tanpa disedari Allah SWT telah dipersekutukan dengan majikan, kekayaan atau pangkat.Bahkan sekarang ini Allah SWT juga turut dipersekutukan dengan suami, isteri atau anak.Orang lebih takut kehilangan kekuasaan daripada kehilangan iman di dada.Manusia lebih takut diadili di dunia daripada mahkamah ilahi, padahal jikalau Allah SWT berkehendaki segala usaha dan ikhtiar manusia akan hancur sia-sia sahaja. Keikhalasan hati adalah yang sebenar-benarnya harta hakiki seorang manusia.Apa-apa ibadah yang dilakukan tanpa keikhalasan nescaya hanya sia-sia semuanya. Allah SWT telah berfirman di dalam ayat al-Araaf ayat 29 : “Katakanlah, “Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan dan (katakanlah), “Luruskanlah muka (diri) mu di setiap sembahyang dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepadaNya )”. Ikhlas, alangkah indahnya maknanya yang terkandung di dalamnya.Ikhlas bermakna bersih dari segala yang tidak disukai Allah SWT.Ikhlas juga menjadikan Allah SWT sebagai pencipta, pemilik, pemelihara dan penguasa seluruh alam semesta ini.Ikhlas dalam menjadikan Allah SWT sebagai satu-satunya Zat yang kita harapkan, taati dan cintai.Ikhlas menjadikan Muhammad SAW sebagai penjelas dan penyampai kalam Allah SWT.Ikhlas menerima al-Quran sebagai pedoman dalam segala perjalanan kehidupan kita.Seorang manusia yang ikhlas ialah manusia yang berpribadi kuat dan tidak pernah mengenal erti penat.Oleh itu orang yang paling bersungguh-sungguh menjaga keikhlasan dirinya ialah orang yang paling menikmati hidupnya.
Kita sebagai seorang manusia haruslah bersyukur dengan kebahagiaan yang Allah SWT kurniakan kepada kita.Betapa indahnya kurniaan Allah SWT yang merangkumi lidah dan tekak.Namun begitu, saat kita minum sesuatu, menyebut Alhamdullillah pun sangat kurang. Nasi yang ditelan kedalam mulut kita, jika tidak bersyukur maka tidak akan menjadi amal dan akan hilang rasa nikmatnya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran di dalam ayat an-Nisa: “Mengapa Allah akan menyeksamu jika kamu bersyukur dan beriman dan Allah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui.” Manakala Rasullullah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Tidak bersyukur kepada Allah siapa yang tidak pandai bersyukur (berterima kasih) kepada sesama manusia.” <Al-Hadis>.Banyak hal yang membuatkan kita tenggelam dalam penderitaan disebabkan kita kurang mensyukuri nikmat yang Allah SWT beri. Selain bersyukur kepada Allah SWT kita juga harus juga bersyukur kepada manusia kerana tidak disebut seseorang itu sebagai ahli syukur kecuali ia juga syukur pada manusia. Sebagai seorang muslimkita seharusnya menjadi seorang yang penyabar. Allah SWT yang mengusai tubuh ini mengurniakan kesihatan zahir dan batin supaya manusia lebih mensyukurinya.Maksud sabar ialah usaha manusia bersungguh-sungguh untuk dapat terus berada di jalan Allah SWT.Salah satu sabar adalah sabar menghadapi rasa sakit.Allah SWT memberikan pelbagai bentuk ujian pada manusia di samping menjalani kehidupan di dunia ini. Dengan sabar, kita tahu bahawa tubuh yang sakit sedang sakit ini bukanlah milik kita melainkan milik Allah SWT, dan Allah SWT berhak untuk membuat apa sahaja milikNya tanpa sebarang halangan. Jika Allah SWT berkehendak para doctor dan ahli pakar dalam bidang kesihatan juga boleh mengalami sakit. Secara kesimpulannya jika Allah SWT menghendaki semua akan mengalami sakit. Kita seharusnya sabar untuk tetap berprasangka baik bahawa Allah SWT tidak akan membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. Sakit yang menimpa tubuh kita semestinya akan diukur oleh Allah SWT dan ukurannya tidak akan melampaui kemampuan hambaNya. Jadi kita seharusnya bersyukur apa-apa pun yang Allah SWT timpakan pada kita.Dengan kekuasaan Allah SWT zikir boleh dijadikan ubat untuk mengubati rasa sakit menjadi satu kenikmatan. Oleh itu kita seharusnya berlatih bersabar daripada sekarang kerana jika malaikat maut sudah menjemput kita maka tidak akan ada kesempatan lagi bagi kita untuk bertaubat kepada Allah SWT.
Seterusnya, langkah untuk mendapatkan ketenangan jiwa ialah dengan menguruskan diri dengan betul. Sebagai seorang muslim yang beriman kita haruslah pandai dalam menguruskan diri sendiri. Kita haruslah berdoa kepada Allah SWT supaya mengurniakan kepada kita sifat berhati-hati atas kejayaan kerana orang yang diuji dengan kegagalan lebih mudah berhasil berbanding diuji dengan kejayaan.Ramai yang mengalami kesukaran, tapi cuma segelintir yang dapat menghadapi kemudahan dan kelapangan.Ada yang bersabar apabila tidak mempunyai harta tetapi ramai yang tidak bersabar apabila harta melimpah ruah.Ini ternyata harta, pangkat dan kemewahan sering dijadikan sebagai alat mengukur kejayaan. Secara am nya ini membuatkan orang tergelincir ke arus kesesatan dan kekeliruan. Setiap orang di dalam dunia ini mempunyai pandangan yang berbeza mengenai kejayaan ini. Namun secara sederhana, kejayaan bole dimaksudkan sebagai sebuah keberhasilan akan tercapainya sesuatu sasaran. Secara dasarnya kejayaan berhak dimiliki oleh semua orang tetapi persoalan yang datang adalah bahawa tidak semua orang tahu bagaimana cara untuk mendapatkan kejayaan itu. Di dalam pandangan islam kejayaan memang tidak dilihat hanya dari aspek duniawi tetapi ukrawi juga. Sejak dari awal lagi kita harus merenungi bahawa kejayaan dunia jangan menutup peluang kita untuk meraih kejayaan di akhirat nanti. Justeru, kejayaan hakiki ialah di saat kita akan bertemu Allah SWT nanti di akhirat. Oleh itu jangan merasakan kejayaan saat mampu mendapatkan sesuatu. Kita kembali kepada al-Quran bahawa orang yang Berjaya akan menjaga dirinya, menjaga fikirannya, menjaga matanya, menjaga mulutnya sehingga hidup ini ada di jalan yang lurus dan disukai oleh Allah SWT. Berjaga dalam pandanagan Allah SWT bukanlah diukur dengan gelaran, tidak diukur dengan penampilan, tidak diukur oleh harta tetapi melainkan dia taat kepada Allah SWT. Orang yang Berjaya tidak akan pernah merasa dirinya Berjaya kerana semua ini adalah amanah daripada Allah SWT. Orang yang Berjaya ialah orang yang selalu memuji Allah SWT dan sentiasa bertaubat memohon keampunan.insyaAllah apabila kita dihisab semasa berada di akhirat nanti kita boleh mempersembahkan karya terbaik kita semasa berada di dunia dan inilah dikatakan kejayaan sejati.
Langkah yang terakhir ialah kita haruslah menghindari penyakit hati. Sebagai seorang muslim sejati, kita haruslah menjauhi sifat hasad dengki kerana sifat inilah yang akan menjatuhkan instusi umat islam. Dengki, ialah satu penyakit yang menyerang tubuh dalaman, iaitu hati dan mampu menghancurkan hidup seseorang, bahkan pemimin juga mempunyai sifat dengki ini. Allah SWT berfirman di dalam ayat <an-Nisa’ ayat 32>“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurnikan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan mohon kepada Allah sebahagian dari kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” Akibat kedengkian seseorang akan memakan kebaikan yang telah ia kerjakan sepertimana api yang membakar kayu-kayunya sehingga menjadi debu. Penyakit dengki ini mudah dikesan melalui cirinya yang sederhana iaitu dengan adanya perasaan gembira dalam diri ketika melihat penderitaan orang yang lain dan perasaan sedih apabila tengok orang lain Berjaya. Dengki juga boleh diukur dengan cara merenungkan sebanyak kebahagiaan yang kita dapat saat melihat kesusahan orang lain. Akhlak pendengki begitu buruk sekali. Sebagai contoh seorang pendengki sentiasa memikirkan untuk menjatuhkan orang lain. Kedengkian ini akan mengakibatkan kerugian besar kepada seseorang itu kerana hari-harinya akan diliputi kegelisahan, tidur tidak nyenyak, makan tidak kenyang kerana otaknya dipenuhi dengan fikiran-fikiran negative. Penyakit dengki ini tidak akan hilang kecuali seorang pendengki itu sendiri yang berusaha mencari ubat untuk kesembuhan hatinya. Salah satu cara untuk menyembuhkan penyakit dengki ini ialah dengan mempunyai kenyakinan diri yang tinggi. Kita perlu yakin bahawa Allah SWT mampu mengatur pembahagian rezeki kepada hambanya.
Allah SWT berfirman di dalam ayat <al-Baqarah ayat 264> : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu batalkan sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riak kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Perumpamaan mereka menjadi batu yang licin yang di atas tanah, lalu hujan lebat menimpanya, maka ia menjadi bersih. Mereka tidak memperoleh apa pun dari apa yang mereka usahakan dah Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang kafir.”Sesungguhnya beruntung bagi orang-orang yang tidak mempunyai penyakit riak serta tidak di seksa oleh kerinduan untuk dipuji dan dihormati orang lain tetapi sebaliknya apabila kita akan sengsara jika terlalu banyak memikirkan penilaian orang lain kepada kita. Jikalau diserang penyakit riak segalanya ingin selalu dipamerkan.Rasullullah SAW telah mengatakan riak termasuk perbuatan syirik yang kecil.
Baginda bersabda “Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk badan dan rupamu, tetapi Allah melihat niat dan keikhlasan dalam hatimu.”<Hadis Riwayat Muslim>.di dalam hadis yang berbunyi “ Sesungguhnya yang paling aku takuti atas kamu sekalian adalah syirik kecil.” Sahabat bertanya, “apakah syirik kecil itu Ya Rasullullah?”.Rasullullah kemudian menjawab, “syirik paling kecil itu adalah riak.”Daripada hadis tersebut dapat difahami bahawa orang yang riak itu dianggap telah menyekutukan Allah SWT. Yang membahayakan lagi dari sikap riak itu ialah akan menyebabkan hangusnya amalan yang kita telah lakukan. Oleh itu, sepatutnya amalan yang kita lakukan seharusnya ditujukan hanya kepada Allah SWT untuk mendapatkan redhanya.

1.6 PENUTUP
Secara am nya buku “Mencari Ketenangan Jiwa” ini menerangkan aspek-aspek kehidupan manusia seharian. Ia menerangkan tentang permasalahan dan persoalan hidup yang sentiasa menyelubungi setiap insan yang bernama manusia. Tetapi kita haruslah ingat, setiap apa masalah yang timbul pasti akan ada penyelesaiannya dan setiap masalah itu ada kebaikan dan keburukannya yang sendiri. Terpulanglah kepada individu itu sendiri bagaimana beliau hendak mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menangani setiap masalah yang dialaminya.
    Setiap orang-orang yang mengenal Allah SWT dengan baik akan sentiasa bertawakal dan taat pada perintahNya kerana ia yakin akan kekuasaan Allah SWT yang menentukan Qadaq dah Qadar nya. Tiada yang paling bahagia di dalam hidup ini kecuali dapat melihat Allah SWT di dalam apa jenis situasi pun. Allah SWT maha berkuasa dan mampu melakukan semuanya.
    Oleh itu, kita sebagai manusia haruslah bijak dalam menghadapi semua musibah yang datang.Jangan bertindak terburu-buru mahupun di luar kawalan dan selebihnya hanyalah berserah kepada Allah SWT.Kita hanya mampu berusaha, Allah SWT yang menentukannya.

No comments:

Post a Comment