Sunday, October 21, 2012

Keruntuhan Akhlak

Nama : Siti Nadiah Bt Ibrahim
No matrik : 2012208236
Kursus : BM114
Kumpulan : Bmd1Ah
Nama Pensyarah : Uztad Aziz

Pendahuluan
Pada zaman era globalisasi,kepincangan akhlak SEmakin berleluasa terutamanya dikalangan remaja.Remaja distilahkan menurut Kamus Dewan, remaja bererti mula hendak dewasa, telah mencapai aqil baligh dan sudah sampai umur untuk berkahwin. Belia pula ialah golongan muda remaja dan pemuda.
(Kamus Dewan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Malaysia. Th: 1970.hal: 48 dan 95).
Akhlak didefinisikan sebagai tabiat, perangai, tingkah laku, adat kebiasaan dan sifat semulajadi. Manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ciptaan dan terdiri daripada dua unsur iaitu rohani dan jasmani. Allah SWT berfirman:
 Terjemahan: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang
 sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
                                        (surah al-Tin ;4)
Identiti seseorang individu itu akan menjadi buah mulut manusia samada baik mahupun buruk, malah sesetengah perlakuan individu itu mencerminkan orang disekeliling nya terutama ahli keluarga. Namun begitu pada masa kini kebanyakan remaja di Malaysia hanya mengangap perbuatan seharian mereka di anggap satu norma di kalangan masyarakat Malaysia.
Perlakuan seseorang itu menunjukkan juga kedalam agama yang dituntut.Islam telah pun meletakkan garis panduan dlm pelbagai aspek dan akhlak peribadi seseorang itu menjadi tatapan utama dalam islam.Islam merupakan agama terperinci yang memberikan perincian terhadap akhlak seseorang itu terutama nya di kalangan kaum wanita, ini kerana islam memartabatkan kaum hawa ditempat yang tinggi. Menerapkan ciri-ciri Islam haruslah di mulakan dari kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Biarpun sudah dewasa, Islam mengamalkan ‘amar makruf nahi mungkar ‘ serta menegur melalui 3 cara ( lidah, tangan, hati). Menasihati melalui lidah adalah yang terbaik dengan menuturkan kata yang sopan dan memberi cadangan dan cara untuk membetulkan akhlak seseorang, cara ini sebaiknya diamalkan dikalangan ahli keluarga mahupun sahabat. Manakala melalui tangan ialah dengan mengambil tidakan sewajarnya cara ini selalunya dimonopoli oleh kerajaan atau pun yang berkuasa.Contohnya Jabatan Agama Islam (JAIS) yang membuat serbuan ke tempat-tempat maksiat yang menjadi tumpuan remaja seperti kelab malam dan rumah tumpangan.Yang terakhir ialah dengan cara selemah- lemah iman adalah melalui hati dengan membenci perbuatan tersebut seperti bencinya dicampak ke neraka dan berusaha kepada diri sendiri supaya tidak terpesong akhlak.

PUNCA
Sebab-sebab yang mendorong ke arah keruntuhan akhlak ialah sistem kekeluargaan.Keluarga merupakan satu kelompak yang terdiri daripada ayah, ibu serta anak. Namun begitu kita dapat lihat pada masa kini kita dapat melihat perpecahan kelompok dalam ahli keluarga yang bermasaalah.Ibubapa pada hari ini lebih mementingkan kerjaya daripada kehidupan keluarga dan meninggalkan beban kepada pembantu rumah untuk menjaga pemakanan dan aktiviti harian anak-anak mereka. Kurangnya perhatian daripada ibubapa akan menyebbkan anak-anak melakukan aktiviti yang tidak bermoral seperti melepak, vandalisme, gangster dan cara pergaulan. Anak-anak yang semakin meningkat dewasa terdedah kepada pelbagai masaalah, dan beban ini seharusnya diringankan oleh ahli keluarga sendiri, tetapi rentetan daripada kurangnya komunikasi antara anak dan ibubapa akan mendorong kepada pergaulan anak-anak. Anak-anak akan menceritakan masaalah mereka kepada rakan yang memahami keadaan mereka. Sepertimana yang kita tahu, rakan sebaya adalah faktor penarik pada anak-anak. Apabila mereka merasa sunyi mereka anak mencari kawan-kawan. Jika anak-anak berkumpul dalam kalangan rakan sebaya yang baik, itu tidak menjadi masalah. Namun apa yang berlaku pada hari ini adalah mereka berkumpul bersama-sama dan melakukan perkara-perkara negatif dan lagha. Banyak masalah yang boleh kita lihat antaranya penglibatan mereka dalam kumpulan-kumpulan yang merosakkan akidah seperti black metal, punk dan ajaran sesat.


Akidah memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian ummah masa kini. Menurut al-Qadhrawi, persoalan akidah bukanlah perkara yang boleh di ambil ringan. Ia merupakan keperluan yang harus dipenuhi untuk kebangkitan dan keteguhan sesuatu bangsa. Jika akhlak itu sendiri sudah tiada, maka yang ada hanyalah hawa nafu semata-mata. Firman Allah swt :
    Terjemahan : “kemudian mereka digantikan dengan keturunan-keturunan yang
    Mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat);
    maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). Kecuali orang-orang yang
    Bertaubat dan beriman serta beramal soleh,maka mereka itu akan masuk syurga,
    Dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun”
Seperti yang kita lihat, kebanyakan anak muda kini kebanyakan nya melakukan aktiviti bersama kawan yang bercampur cara pergaulan dan tidak mengamalkan etika pemakaian seperti dituntut islam.Hal ini menjadi menjadi punca anak-anak terjebak ke kancah maksiat dan perilaku sumbang dengan kaum sejenis. Dengan melakukan perkara maksiat mereka menganggap ianya satu cara untu melepaskan beban dan untuk mendapat kasih sayang. Di pusat membeli belah, bowling, karaoke pula kita dapat lihat muda mudi yang berpelesaran tanpa arah tujuan yang hanya untuk menghilangkan rasa bosan tanpa ahli keluarga. Anak gadis yang berpakaian tidak sopan boleh mendatangkan pelbagai kutukan dari masyarakat setempat.
Jika kita imbas pada zaman dahulu, keluarga sangat mementingkan ahli-ahlinya secara kolektif, namun hari ini ahli keluarga lebih mementingkan diri sendiri. Hal ini telah menyebabkan kebanyakkan anak-anak hari ini kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa dan kekurangan unsur-unsur kerohanian dalam diri mereka yang sepatutnya menjadi tembok untuk menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan akhlak.
Faktor lain yang mendorong kepada keruntuhan akhlak pada abad ini ialah sistem pendidikan.Ibubapa yang sepatutnya menjadi guru agama dalam memberikan didikan agama namun begitu tanggungjawab tersebut diberikan kepada institusi pendidikan agama seperti Sekolah Rendah Agam (SRA) tetapi pendidikan ini hanya untuk pendidikan awal dan secara asas. Pendidikan agama yang tidak begitu mendalam diamalkan kehidupan seharian kerana ibubapa mereka sendiri tidak mengamalkan cara hidup islam seperti solat lima waktu.
Luqman Al-Hakim pernah berkata kepada puteranya “wahai puteraku, jika kamu terdidik sewaktu kecil maka kamu akan berguna ketika dewasa”. Bukankah kata-kata ini penuh dengan hikmah. Maka, sewajarnya, ibubapa menjadikan Luqman Al-Hakim sebagai contoh untuk diteladani dalam mendidik anak-anak. Dimana tidak tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Pepatah ini jelas menerangkan anak-anak menerapkan cara hidup mereka berdasarkan kedua orang tua mereka, seandainya kehidupan kekeluargaan itu tidak mematuhi peraturan seperti menutup aurat dan menjaga solat mana mungkin anak- anak akan dapat dibesarkan dengan cara keagaaman.

 Seterusnya, antara faktor lain yang menyebabkan keruntuhan akhlak abad ini, adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya. Remaja kebiasaanya mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi dalam diri mereka. Kebanyakkan remaja hari ini, akan berkongsi pelbagai perkara dengan orang yang paling dekat dengan mereka. Sepertimana yang telah kita bincangkan tadi mengenai keruntuhan institusi kekeluargaan yang mana ibu bapa jarang berada di rumah kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing. Maka, anak-anak akan mencari seseorang yang rapat dengan mereka, khususnya rakan-rakan mereka. Seorang individu yang bernama “kawan” biasanya memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan seseorang remaja. Mereka akan saling berkongsi mengenai masalah keluarga mahupun masalah di sekolah bersama kawan-kawan mereka. Seharusnya, sejak di bangku persekolahan lagi, sama ada ibu bapa mahupun pihak sekola harus menerapkan akhlak dan keperibadian Rasulullah saw dalam diri anak-anak. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisya r.a. apabila ditanya oleh para sahabat mengenai akhlak Rasulullah saw, maka beliau menjawab :
“Akhlak Rasulullah saw adalah Al-Quran”
Allah SWT juga berfirman : Terjemahan : “Sesungguhnya pada kamu pada Diri Rasulullah saw ikutan terbaik bagi sesiapa yang mengharap untuk bertemu Allah dan Hari akhirat dan banyak mengingati Allah”
                                (surah al-Ahzab;21)
 Selain itu, pengaruh media elektronik juga sangat besar dalam masalah keruntuhan moral remaja hari ini. Saban hari, dapat kita lihat apabila di kaca-kaca televisyen, banyak menyiarkan siaran daripada negara luar, khususnya, negara barat. Sepertimana yang kita tahu, banyak siaran yang disiarkan di kaca televisyen mempunyai unsur-unsur yang tidak sihat. Hal ini seterusnya telah mempengaruhi minda anak-anak khususnya remaja untuk mengadaptasi apa yang telah mereka tonton. Misalnya, cerita-cerita yang berkaitan dengan cinta, banyak memaparkan nilai-nilai yang tidak baik dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan. Selain itu, tidak kurang juga aksi yang melibatkan pergaduhan dan peperangan. Siaran-siaran yang berunsur kekejaman, kerakusan, penindasan dan kelekaan ini yang banyak menyumbang kepada berlakunya keruntuhan moral sepertimana yang berlaku hari ini. Jadi, tidak hairanlah, kemerosotan akhlak yang berlaku di negara ini semakin meningkat seiring dengan arus moden. Laman sosial turut menjadi punca utama keruntuhan akhlak remaja Malaysia. Rata-rata remaja mempunyai akaun twitter, tagged, blog, friendster dan paling banyak adalah akaun facebook yang turut dimiliki oleh semua lapisan umur. Kini telah terlalu banyak pengakuan dari wanita yang menyatakan mereka terjerumus kepada zina apabila mula berkenalan dengan lelaki melalui laman sosial. Apabila mereka sudah mula memulakan langkah perkenalan ini, seterusnya, bermulalah pelbagai kes-kes jenayah yang melibatkan pembuangan bayi di merata tempat seperti di dalam longkang, di dalam tong sampah, di dalam mangkuk tandas dan sebagainya. Sangat mengaibkan apabila yang melakukan perkara keji tersebut adalah pasangan yang beragama Islam itu sendiri. Kes pembuangan bayi seakan sama seperti yang berlaku pada zaman jahiliyah dahulu yang mana bayi perempuan dibunuh atas alasan mereka akan mencemarkan maruah keluarga mereka. Jelaslah bahawa kemerosotan akhlak yang berlaku dalam kalangan remaja hari ini sangat kritikal. Ibarat barah yang sukar dirawat. Tekanan hidup seseorang itu mempengaruhi kepada cara hidup seharian. Misalnya kata jika seseorang itu hidup dalam keadaan yang daif dan kekurangan, mereka akan terdedah kepada pelbagai cara untuk mendapatkan duit seperti meragut, pecah rumah dan menjadi pelacur.Kedesakan dalam memperoleh nikmat tanpa memikirkan halal dan haram.


Diriwayatkan dari sebahagian Hukama’ :
Terjemahan : “Barangsiapa berpegang teguh pada akalnya, nescaya dia sesat, barangsiapa mencari kecukupan harta bendanya nescaya dia akan miskin dan barangsiapa yang mencari kemuliaan dari makhluk, nescaya dia akan hina.”
Jelaslah di sini bahawa berlindung pada akal itu sesat, jika tidak berpegang kepada Allah SWT dan mohon bimbingan-Nya menuju kebenaran. Merasa cukup dengan hartanya saja akan melarat, jika tidak menyedari bahawa sesungguhnya yang memberi kecukupan adalah Allah SWT. Remaja hari ini tidak sedar bahawa hidup mereka sebenarnya dapat diubah jika adanya ilmu. Namun, apa yang berlaku hari ini, tiada nilai-nilai spritual yang tinggi dalam diri mereka yang menyebabkan mereka terbabas di dalam percaturan hidup mereka sendiri. Tekanan hidup yang dialami dijadikan satu alasan kepada mereka yang melakukan pekerjaan tidak bermoral. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti dan perkerjaan yang mendatangkan duit yang lumayan menjadikan mereka alpa kepada Pencipta mereka.

Jalan penyelesaian
Pelbagai langkah yang boleh diambil dengan mudah jika ada kemahuan. Apabila anak-anak diterapkan dengan didikan agama secara awal ianya memudahkan meraka untuk dididik.Dengan mengamalkan prinsip hidup seperti menunaikan solat lima waktu, berpuasa penuh ketika bulan Ramdahan sepertimana yang telah dituntut Islam. Luqman Al-Hakim juga pernah berkata kepada puteranya mengenai puasa, solat dan nafsu yakni :
“Puteraku, jika kamu berpuasa, maka puasalah sekadar untuk menghancurkan syahwatmu dan tidak melemahkanmu dalam menunaikan solat, kerana solat itu lebih utama daripada berpuasa. Puasa sendiri disyariatkan untuk mendidik akhlak dan menekan gangguan nafsu syahwat. Puasa adalah latihan batin sedangkan solat disyariatkan untuk memperbaiki jiwa yang merupakan tempat bersemayamnya setiap kejahatan dan sumber setiap hawa nafsu. Tidak ad tuhan yang disembah melainkan Allah SWT. Tidak ada sesuatu yang sangat dibenci Allah SWT melebihi hawa nafsu”
Jelas di sini bahawa solat sangat penting dalam pembentukkan akhlak individu itu sendiri.Didikan agama seharusnya wajib diberikan kepada oleh ibubapa kerana anak-anak lebih mencontohi perilaku ibubapa.Oleh itu, ibubapa haruslah menunjukkan teladan yang baik dan ke arah kebaikan.
Selain daripada itu,ibubapa memainkan peranan yang penting dalam membentuk akhlak Islam anak-anak. Ibubapa haruslah menitik sistem kekeluargaan dlm kehidupan seharian anak-anak. Apabila anak-anak mendapat kasih sayang daripada kedua ibubapa mereka akan lebih tertumpu untuk melakukan sebarang aktiviti reakrasi dengan ahli keluarga dan menceritakan masaalah kepada kedua ibubapa. Rasa percaya dengan keluarga akan melebihi daripada persahabatan dan dengan pendekatan bersama ahli keluarga akan menjaga pergaulan anak-anak dengan orang luar seperti kita dapat mengetahui dengan siapa anak kita berkawan. Malah dapat merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli keluarga selain dari memenuhi masa dengan akriviti seharian.
Bukan itu sahaja, memilih sahabat dengan bijak juga dapat mengawal diri seseorang individu itu. Sahabat yang baik akan memberikan nasihat apabila kita salah dalam melakukan sesuatu perbuatan seperti cara pergaulan. Mereka akan membawa kita kearah kebaikan dan menjauhi daripada perkara yang melalaikan seperti melepak tanpa arah tujuan, berkaraoke dan sebagai nya.
Kerajaan Malaysia juga haruslah mengamalkan undang-undang islam dan menitik beratkan tayangan televisyen antarabangsa yang sering disiarkan di televisyen. Misalnya, penapisan penyiaran filem-filem yang tidak sesuai untuk ditayangkan. Kerajaan bertanggungjawab untuk menapis semula filem-filem yang berunsurkan kekejaman, kerakusan, penindasan dan kelalaian sebagai langkah mengurangkan kemerosotan akhlak dalam kalangan remaja Islam. Hukuman juga perlu dilaksanakan seperti dikenakan kompaun atau denda kepada mana-mana syarikat penerbitan yang meluluskan penyiaran filem-filem yang tidak sihat. Hal ini bertujuan untuk mendidik semula budaya masyarakat yang tidak mementingkan adat kemelayuan dan adab dalam Islam pada hari ini. Badan bukan kerajaan juga (NGO) berperanan untuk turut bekerjasama dalam menangani masalah yang kian berleluasa ini. Misalnya,mewujudkan badan-badan dakwah di setiap negeri. Para remaja hari ini, sangat memerlukan tarbiah dan didikan agama secara berterusan dan bersistematik. Sebagai badan dakwah, NGO Islam perlu berperanan dalam mengatur aktiviti dan program secara berkala. Misalnya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), adalah lebih baik kerajaan menyelitkan kemahiran insaniah dan islamik yang boleh meningkatkan jati diri. Pelbagai aktiviti haruslah dilaksanakan seperti berbincang tentang tokoh-tokoh ilmuan Islam dan perjuangan sahabat-sahabat Rasulullah, menayangkan video-video yang memberikan keinsafan, melawat rumah orang miskin dan anak-anak yatim dan menggalakkan mereka memberi sumbangan kepada aktiviti kebajikan seperti membersihkan rumah orang-orang tua agar dapat memupuk sikap tolong menolang antara satu sama lain. Namun sebelum itu remaja mestilah diberi penghayatan Islam yang sempurna iaitu beriman kepada lima rukun iman dan melaksanakan lima rukun Islam dengan sempurna. Sebagai umat Islam, remaja mestilah mendalami asas-asas ajaran Islam iaitu akidah, syariat dan akhlak serta melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya. Kerajaan sepatutnya meletakkan agama Islam sebagai yang tertinggi daripada semua perundangan termasuklah Perlembagaan Malaysia. Hal ini adalah untuk memastikan semua umat Islam menjalani kehidupan dengan nilai-nilai Islam seperti menjauhi riba dan rasuah, menghindarkan diri dari maksiat dan zina, menutup aurat dan takut melakukan dosa serta mengukuhkan ukhwah sesama umat Islam.

Kesimpulan
Keruntuhan akhlak pada masa kini amat membimbangkan dan meluputkan adat-adat Islam. Pelbagai punca berlakunya keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja hari ini. Misalnya, keruntuhan institusi kekeluargaan, pengaruh media elektronik seperti penerbitan filem yang tidak bermoral, pengaruh rakan sebaya dan tekanan hidup yang dihadapi. Oleh hal yang demikian, semua pihak haruslah berganding bahu dalam menangani masalah keruhtuhan akhlak yang berlaku dalam kalangan remaja kita hari. Ibu bapa, pihak sekolah dan badan kerajaan(GO) serta badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting untuk mengatasi masalah yang kian kritikal ini. Banyak langkah yang boleh diambil jika semua pihak bersatu-hati misalnya, ibu bapa mestilah menjadi teladan yang baik kepada anak-anak dengan menjadi contoh yang baik serta memberi didikan agama yang mencukupi. Firman Allah Subhanahu Wataala:
 “Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” (Surah A1-Baqarah:30)..
 Khalifah Allah di bumi ini yang bersama-sama insan lain ditugaskan untuk menunaikan amanah Allah iaitu menegakkan Islam. Jika mereka benar-benar beriman dan mempunyai iltizam di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, dan menunaikan amanah Allah ini pasti mereka akan berjaya. Maksud firman Allah Subhanahu Wataala :
 Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal saleh dari kalangan
 kamu (wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifahkhalifah
 yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah
 menjadikan orang-orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa, dan
 ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang
 telah diredainya untuk mereka, dan lagi ia juga akan menggantikan bagi
 mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).
 Mereka terus beribadah kepadaku dengan tidak mempersekutukan sesuatu
 yang lain denganku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka
 mereka itulah orang-orang yang derhaka.”
(Surah Al-Nur: 55)
Demikian dijelaskan oleh Allah akan janji-janjinya kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa. Golongan yang berjaya melaksanakan tugasnya sebagai khalifah Allah SWT dimuka bumi dan menunaikan amanah yang telah dipertanggugjawabkan, akan menjadi khalifah dan golongan yang memegang kuasa pemerintahan di bumi Allah SWT ini dan menjadi mulia di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment