Monday, October 22, 2012

Islam Hadhari

DISEDIAKAN UNTUK:
USTAZ ADB AZIZ BIN HARJIN
Pensyarah CTU101

DISEDIAKAN OLEH:
AZURA BINTI SAZALI
2012409084

PROGRAM:
Diploma Sains Kuantitatif
(CSD1Dq)

TARIKH HANTAR:
12 September 2012

PENDAHULUAN
Assalamualaikum, alhamdulillah syukur ke hadrad Ilahi dengan limpah kurnianya dapat saya siapkan assignment ini dengan jayanya. Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Abd Aziz bin Harjin kerana memberi peluang kepada saya menjalankan kajian tentang Islam Hadhari Dalam Pembangunan Insan iaitu asas kepada pelaksanaan Islam hadhari di Malaysia.
 Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ibubapa saya yang turut memberi sokongan dan dorongan dalam menyumbangkan buah fikiran. Tidak lupa juga kepada kepada individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menyiapkan tugasan ini.
 Antara matlamat utama saya menulis tajuk ini adalah untuk melontarkan pemikiran secara ilmiah dari segi pembangunan insan serta bagaimana sesuatu tamadun manusia itu boleh bangun dan jatuh, amat sesuai dijadikan sebagai asas percambahan pemikiran kepada seluruh umat Islam di Malaysia bagi membangunkan semula kegemilangan tamadun Islam di dunia ini.

ABSTRAK
Hadharah (tamadun) bolehlah ditakrifkan sebagai hasil tindak balas antara manusia dengan alam dan kehidupan. Tujuannya ialah untuk merealisasikan segala keperluan dalam masyarakat demi untuk kebaikan dan kebahagiaan di kalangan manusia.
 Kemunduran tamadun Islam adalah kerana sikap orang Islam sendiri yang menutup pintu dan tidak mahu berlapang dada menerima tamadun-tamadun lain, disamping tertutupnya pintu ijtihad disebabkan ketaksuban dan terbelenggunya gerakan pemikiran. Umat Islam perlu mengambil ilmu pengetahuan tanpa mengira dari mana datangnya ilmu tersebut kerana sikap itu menunjukkan kebijaksanaan.
 Allah tidak menjanjikan untuk memberikan pertolongan kepada orang-orang yang lemah dan tertindas untuk dijadikan sebagai pemimpin dan ketua. Sebaliknya Allah akan mengurniakan kepada mereka yang mampu menguasai ilmu kehidupan dan unit-unit alam di sekitarnya sejajar dengan peranannya sebagai khalifah iaitu memakmurkan bumi ini berasaskan kepada konsep Islam Hadhari.
 Usaha membebaskan umat Islam daripada kemundurannya perlulah dilakukan dalam bentuk berkumpulan yang mewakili majoriti umat Islam tanpa membezakan persekitaran dan kedudukan mereka.

KONSEP
(PENGERTIAN TAMADUN DAN ELEMENNYA)
 Perkataan hadharah (tamadun) bolehlah ditakrifkan sebagai hasil tindak balas antara manusia dengan alam dan kehidupan demi kebahagiaan dan kesenangan manusia. Oleh itu, elemen atau rukun tamadun yang asasi kelihatan melalui tiga induknya iaitu manusia, kehidupan dan alam semesta.
 Yang dimaksudkan dengan dengan manusia atau kewujudan manusia dalam konteks ini ialah akal, pemikiran dan nuraninya.
 Kehidupan yang dimaksudkan ialah umur yang dimiliki oleh manusia. Mungkin menggunakan perkataan umur atau kehidupan lebih mendalam pengertiannya berbanding dengan perkataan “zaman”. Ini kerana zaman membawa signifikan yang tersendiri sekalipun tidak dihubungkaitkan dengan manusia. Tetapi jika diungkapkan dengan perkataan zaman maka dalam konteks ini ia bermaksud dimensi masa yang terbentang luas di mana manusia wujud dan menggunakan kehidupan dan pemikirannya di atas jarak dimensi itu. Dan dimensi itu diungkapkan dengan perkataan kehidupan atau umur.
 Yang dimaksudkan dengan alam semesta ialah segala unit alam yang berbagai-bagai yang berupaya dipergunakan oleh manusia. Perkataan alam merupakan ungkapan yang ilmiah jika kita mahu mengaitkan antara lafaz dan pengertiannya secara yang lebih halus. Ia lebih lebih tepat digunakan berbanding perkataan tabii (semulajadi) yang tidak jelas untuk dijadikan asas pegangan dari sudut ilmiah. Perkataan “tanah” juga tidak boleh disama ertikan dengan perkataan alam atau unit alam. Lainlah kalau dimaksudkan penggunaan makna sebahagian untuk maksud keseluruhan. Apa pun, penggunaan perkataan-perkataan ini dalam definisi yang dikemukakan tidak penting bagi kita. Yang jelasnya manusia adalah elemen paling penting daripada ketiga-tiga elemen tamadun ini. Ini kerana manusia adalah elemen yang bertindak balas dan mempengaruhi sedangkan alan dan kehidupan menerima tindak balas dan terpengaruh. Ini bererti manusia merupakan pusat pembangunan alam dalam kehidupan dunia, disebabkan ia (manusia) dikurniakan nikmat pemikiran dan pandangan yang mendalam. Semua yang ada disekitar manusia bertindak sebagai sebab-sebab yang berselerakan di sana sini yang dipermudahkan untuk manusia. Apabila manusia melihat kepada sebab-sebab itu maka ia mendapat pedoman untuk menjalankan misinya yang besar, lalu dipergunakan sebab-sebab itu bagi mencapai impian dan matlamatnya.
 Berdasarkan keperluan ini, al-Quran telah menggariskan manhaj tamadun manusia yang unggul. Al-Quran menunjukkan kepada manusia jalan yang paling hampir bagaimana kehidupan dan alam semesta ini perlu ditundukkan dalam usaha mempastikan kebahagiaan manusia. Petunjuk al-quran itu digariskan dengan signifikan-signifikan yang sangat terperinci serta jauh daripada sebarang kecemaran dan faktor-faktor yang memusnahkan.



HAKIKAT INSAN MENURUT AL-QURAN

 Al-Quran memperkenalkan kepentingan manusia dalam alam yang mereka diami. Ini kerana manusia merupakan elemen tamadun yang paling penting. Manusia merupakan pusat gerakan segala kewujudan yang ada di sekitarnya. Manusialah yang dipertanggungjawabkan mengendali dan menundukkan segala unit alam di sekitarnya untuk di bawa ke arah objektif yang agung.
 Manusia makhluk yang para malaikat diperintahkan untuk sujud kepadanya iaitu melalui peribadi Nabi Adam a.s.. Nabi Adam a.s. dimuliakan oleh Allah dengan melantiknya menjawat jawatan khalifah di muka bumi, iaitu tatkala Allah menyatakan kehendak –Nya untuk menjadikan manusia sebagai penzahir keadilan dan hukum Allah. Manusialah satu-satunya makhluk bernyawa yang dilengkapkan oleh Allah dengan akal, pemikiran dan kemampuan untuk menguruskan pelbagai urusan.
 Ayat al-Quran ini menjelaskan tentang hakikat diri manusia iaitu:


Ertinya: “ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.
 Surah al-Baqarah: 2: 30
 Manusia walau bagaimana tinggi sekalipun martabat yang dicapainya, atau keistimewaan dan sifat-sifat luar biasa yang dimilikinya, namun semua itu bukannya lahir daripada dirinya sendiri. Bukan manusia yang mengadakan sifat-sifat itu dengan kemampuan yang ada padanya, ia merupakan amanah yang dipertaruhkan Allah kepadanya sampai ke satu tempoh. Pembentukan fizikal manusia adalah berasal daripada tanah yang rendah martabatnya, kemudian daripada air (mani) yang hina, kemudian dia dijadikan makhluk yang lemah dalam genggaman dan ketetapan Allah. Dalam keadaannya sebagai makhluk yang lemah maka secara langsung jelaslah sifat kehambaan-Nya kepada Tuhan yang menciptakannya.
 Sifat-sifat ini pada hakikatnya merupakan bayangan dan limpahan daripada sifat-sifat rububiyyah Allah. Allah anugerahkan sifat-sifat itu kepada makhluk ini supaya mereka menggunakannya untuk menunaikan risalah (misi)-Nya. Dengan sifat-sifat itu akan memudahkan mereka melaksanakan peranan khalifah di bumi. Lantaran itu mereka berupaya mewujudkan tamadun manusia yang unggul.
KEHIDUPAN MANUSIA MENURUT AL-QURAN

 Kehidupan manusia ialah sesuatu yang biasa kita ungkapkan dengan perkataan umur. Seperti yang diketahui perkara paling utama yang berhubung rapat dengan manusia dalam dunia ini ialah umurnya, iaitu kehidupan yang dikecapinya. Manusia sangat mengutamakan kehidupannya melebihi segala yang lain yang dimilikinya.
 Al-Quran memperingatkan manusia tentang dua aspek yang saling berlawanan pada hakikat dirinya. Al-Quran juga menerangkan bahawa cara penyempurnaan yang hakiki bagi diri manusia ialah dengan gabungan kedua-dua aspek itu (kehinaan kejadian manusia dan kemuliaan martabat manusia). Kemudian al-Quran menerangkan bagaimana cara menyempurnakan realiti kehidupan itu, iaitu apabila adanya penggabungan antara dua aspek yang berlawanan itu dalam perkiraan dan keyakinan manusia.
 Al-Quran memperkenalkan kepada kita aspek yang pertama daripada kehidupan ini melalui ayat berikut:

Ertinya: Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.
(surah al-Hadid: 57: 20)
 Jelas melalui ayat ini bahawa kerendahan kehidupan dunia atau umur yang kita miliki dapat diketahui dengan melihat bahawa kehidupan di dunia bukan satu-satunya kehidupan yang dikecapi manusia. Kematian yang sentiasa menantinya bukan bererti habisnya riwayat bagi kisah kewujudan manusia. Malah kehidupan yang dilalui di dunia ini dengan segala pancarobanya tidak lain hanyalah mukadimah kepada episod-episod berikutnya. Dengan kata lain kehidupan dunia ini merupakan fasal singkat yang pertama bagi kehidupan.



ALAM SEMESTA MENURUT AL-QURAN

 Al-Quran banyak memuatkan pembicaraan tentang alam semesta dari berbagai aspek. Al-Quran memperingatkan manusia bahawa semua benda yang dilihat sekelilingnya ditundukkan oleh Allah untuk dipergunakan oleh manusia. Benda-benda itu digunakan oleh manusia untuk merencanakan sebab-sebab yang menjayakan kehidupannya. Ia juga sebagai alat untuk menjayakan syarat-syarat kesenangan dan keamanan manusia. Di tengah antara sebab-sebab dan manusia maka Allah mengurniakan akal fikiran. Akal fikiran itu dijadikan Allah tidak tertutup untuk memerhati dan memahami. Malah ia juga tunduk (kepada ketetapan Allah) untuk memainkan peranannya mendapatkan pengetahuan terhadap semua unit alam daripada sebesar-besarnya sampailah sekecil-kecilnya.
 Al-Quran menarik perhatian kita bahawa kebanyakan unit alam ini tunduk menerima perubahan sejajar dengan perjalanan hidup dan kepentingan manusia. Perubahan itu terjadi jika manusia menggunakan fikiran dan kemampuan yang dianugerahkan kepadanya berbuat demikian. Jesteru, tidak ada salahnya manusia memikir dan memerhatikan serta mengambil manfaat daripada alam semesta ini, di samping membuat apa-apa perubahan yang dipandangnya wajar.
 Ayat berikut merupakan ayat di mana al-Quran memberitahu kita tentang alam semesta dari aspek ini:


Ertinya : Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari) dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.
Surah al-Israa’: 17: 12
 Ayat ini menyebutkan dalil yang tidak mungkin diragui bahawa bahawa Allah menundukkan semua unit alam ini berada di bawah dua keupayaan manusia iaitu keupayaan fizikal dan keupayaan mentalnya. Benda-benda itu ditundukkan oleh Allah bagi manusia mencapai kebanyakan yang dicitakannya.

PENUTUP

 Kesimpulannya kita perlu merangkumkan semua ilmu pengetahuan dan prinsip-prinsipnya yang sejahtera di atas asas yang sama dan teratur. Kita hendaklah menjadikan himpunan semua ilmu yang sejahtera itu sebagai asas bertolak untuk memerangi kemunduran yang yang pelbagai bentuk dan jenisnya.
 Ini kerana sebarang usaha yang dilakukan oleh manusia untuk membawa perubahan kehidupannya yang lebih baik dan bahagia merupakan hasil semula jadi daripada pengetahuannya tentang hakikat dirinya sama ada sebagai individu atau sebagai satu anggota dalam masyarakat. Apabila pengetahuan manusia tentang hakikat dirinya semakin meningkat maka bertambahlah pengetahuannya tentang apa sebenarnya yang diperlukan oleh manusia. Bertambahlah juga kecelikannya tentang apakah jalan terbaik untuk menambahkan lagi kebahagiaan dan kestabilan hidup manusia sepanjang mereka berkelana dalam kehidupan ini.
 Selain itu, kita hendaklah membuat pengkajian yang serius tentang sunnah alam dan kehidupan serta evolusi yang berlaku terhadapnya. Hal tersebut tidak mungkin dapat diketahui melainkan jika kita memikirkan tentang berita disebalik alam maya ini, iaitu bagaimana bermulanya sunnah alam dan aturan yang menguasainya dan sejauh mana ia mempunyai perkaitan dengan ilmu dan akal manusia.
 Ini kerana telah menjadi sunnah Allah kepada hamba-Nya dan alam semesta ini, bahawa bumi akan sentiasa dimakmurkan dan terus berlaku perubahan sehinggalah sampai waktu (kiamat) yang Allah sahaja mengetahuinya.

No comments:

Post a Comment