Sunday, October 21, 2012

Perkahwinan

Nama Pelajar : Adnin Bin Bakar
No. Pelajar : 2011783365
Kod Kursus :Ctu 151
Nama Pensyarah : Abd. Aziz Bin Harjin
Kumpulan : BMD2CC

Bismillahirrahmanirrahiim. . .
Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya bersyukur ke hadrat ilahi dengan limpah kurniaNya saya Adnin Bin Bakar dari group BMD2Cc Diploma In Business Studies telah berjaya menyiapkan kerja kursus Prinsip Asas Islam(CTU 101) berdasarkan tempoh yang telah diberi.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak membantu saya dalam pengumpulan maklumat hingga terhasilnya laporan kajian ini. Ucapan terima kasih ditujukan juga buat keluarga tercinta.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Ustaz Abd Aziz Bin Harjin, selaku pensyarah Prinsip Asas Islam(CTU 101)Universiti Teknologi Mara Perlis, yang telah banyak memberi panduan serta dorongan dan bimbingan sepanjang saya menjalankan kajian ini.

Sekalung budi juga buat Ahmad Akmal Bin Ahmad sahabat lama yang sudi meluangkan masa menemani saya sewaktu proses temubual eklusif ini dijalankan serta tidak lupa juga sahabat-sahabat group BMD2Cc yang telah banyak memberi kerjasama di dalam pencarian maklumat ini. Akhir kata, saya ingin mengucapkan sekali lagi jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak membantu saya sehingga terhasilnya kerja kursus ini. Hanya ALLAH yang mampu membalas jasa baik semua.

Perkahwinan atau hidup berkeluarga merupakan sunnah Rasulullah S. A. W dan tuntutan agama. Ia bertujuan untuk meneruskan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi, juga bagi memenuhi tuntutan naluri dan jasmani seseorang insan. Seterusnya mengekalkan kelangsungan hidup berkeluarga bagi meramaikan zuriat dan keturunan dalam keluarga dan masyarakat.
Setiap individu tidak kira lelaki mahupun perempuan, pastinya mempunyai keinginan untuk mempunyai pasangan hidup dan berkahwin apabila sampai masanya. Dalam Islam, perkahwinan mempunyai tatacara dan peraturan tertentu bagi memastikan perkahwinan yang dibina itu berasaskan syariat dan memenuhi keperluan jasmani dan rohani.
Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut mengenai pensyariatan perkahwinan dianjurkan secara langsung atau tidak langsung kepada manusia sesuai dengan tuntutan fitrah semulajadinya.

KELUARGA DALAM ISLAM

Golongan remaja sering lupa dan tidak terfikir mengenai peranan sebenar berkeluarga. Lantaran itu mereka apabila mula jatuh cinta dengan seorang wanita atau jejaka, mereka hanya memikirkan perasaan cinta dan kasih terhadap pasangan masing-masing sahaja tanpa memikirkan peranan yang lebih besar yang akan ditempuhi nanti, justeru setengahnya sanggup menggadaikan maruah dan harga diri dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama semata-mata mahu menjaga hati dan perasaan mereka yang dikasihi. Sedangkan kemuliaan dan kehormatan diri itulah yang menjadi asas kepada pembentukan keluarga dan masyarakat yang sejahtera.
1.    Perintah supaya berkahwin
Perintah ini dilakukan untuk membentuk institusi kekeluargaan kerana keluarga tidak akan wujud tanpa perkahwinan. Setiap hubungan seks yang berlaku di antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan adalah zina dan dilarang oleh agama. Jadi dengan berkahwin, seseorang itu telah menunaikan tuntutan syarak, sekali gus memenuhi tuntutan jasmani dan rohaninya tanpa menjejaskan imej dan kredibiliti diri dan kehormatannya.
2.    Islam menetapkan tanggungjawab dan hak-hak suami dan isteri
Islam mewajibkan suami dengan perkara-perkara berikut :
-maskahwin  
-memberi nafkah
Ini bermakna, seseorang itu bukan hanya digalakkan berkahwin sahaja tetapi diberikan tanggungjawab berkeluarga seperti memberi nafkah, menyediakan tempat tinggal kepada isteri dan anak-anak, memberikan pendidikan dan menyediakan keperluan hidup berkeluarga.

Islam juga mewajibkan isteri dengan beberapa perkara, antaranya :
-    Taat kepada suami dalam perkara yang bukan maksiat.
-    Tidak boleh membenarkan orang lain memasuki rumah tanpa kebenaran dan keredaan suami.
-    Menjaga kemuliaan, kehormatan dan harta-benda suami.

Islam mensyariatkan hak anak dan ibu-bapa
Islam telah mewajibkan ibu bapa dengan beberapa kewajipan terhadap anak-anaknya :
-    Memberikan nafkah
-    Mendidik anak-anak supaya sentiasa beribadat dan berakhlak.

Islam mewajibkan anak-anak dengan beberapa kewajipan terhadap ibubapa, antaranya :
1.    Taat kepada kedua-kedua ibu bapa dalam perkara yang tidak maksiat serta berbuat baik kepada mereka.
2.    Memberikan nafkah kepada kedua ibu bapa sekiranya mereka fakir miskin dan anak pula adalah orang yang senang.

PERSEDIAAN SEBELUM SESEORANG ITU MELANGKAH KE GERBANG PERKAHWINAN

Seseorang yang berhasrat bahi berkahwin atau mendirikan rumahtangga, perlu memenuhi perkara-perkara berikut :
1.    Mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan perkara-perkara fardhu ain seperti :
-    Tahu membaca Al-Quran sebagai asas dalam kehidupan seseorang Muslim
-    Memahami konsep rukun iman yang enam
-    Tahu dan menhayati rukun islam yang lima
-    Mempunyai ilmu pengetahuan mengenai fardhu ain seperti ilmu pengetahuan mengenai ibadat-ibadat fardhu ain dan juga fardhu kifayah seperti :
► Ilmu pengurusan rumahtangga
► Ilmu pendidikan anak-anak
► Ilmu pengurusan ekonomi dan sebagainya.
2.    Sejahtera atau sihat tubuh badan (fizikal), mental dan rohani.
3.    Mempunyai kerjaya yang dapat membina kekuatan ekonomi keluarga.
4.    Mengamalkan gaya hidup sihat sebagai seorang Muslim dan hidup bermasyarakat.

KRITERIA CALON PASANGAN SUAMI DAN ISTERI MENGIKUT ISLAM

1.    Menghayati Islam sebagai ad-Din dan mempunyai akhlak yang mulia.
2.    Keturunan yang baik-baik.
3.    Sekufu dan setaraf.
4.    Mempunyai kecantikan dan masih perawan.
5.    Mempunyai akal yang sempurna

TIDAK LAYAK DIPILIH SEBAGAI PASANGAN

Islam meletakkan garis panduan mengenai kriteria pasangan yang tidak boleh dipilih menjadi bakal pasangan hidup, antaranya :
1.    Orang yang kurang menarik ataupun tidak berakhlak
2.    Orang yang lemah agamanya.
3.    Orang yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai suami ataupun isteri.
4.    Orang yang tidak setaraf dengannya dari pelbagai aspek seperti keturunan, pendidikan, sosioekonomi dan sebagainya.
5.    Orang yang zalim dan mempunyai perangai kasar dan ganas.
6.    Peminum arak ataupun ahli bid’ah dan seumpamanya walaupun pasangan itu suka kepadanya.
7.    Lelaki dayus iaitu orang yang reda dengan perbuatan mungkar daripada isterinya ataupun ahli keluarganya ataupun perempuan yang nusyuz.

HUKUM MEMINANG

1.    Dihalalkan meminang secara tasrih (terus terang) atau atau ta’rid (membayangkan) :
-    Jika perempuan itu bukan isteri orang
-    Tidak berada dalam iddah
-    Bukan perempuan yang haram dikahwini
2.    Dihalalkan meminang secara ta’rid (membayangkan)
-    Jika perempuan yang ingin dikahwini berada dalam iddah kematian suami
-    Iddah disebabkan talak bain.
3.    Diharamkan meminang secara tasrih atau ta’rid selain daripada dua keadaan di atas. oleh itu haram meminang :
-    Perempuan yang masih bersuami
-    Semua perempuan yang haram dikahwini sama ada haram untuk selamanya atau haram untuk sementara waktu sahaja.
-    Perempuan yang masih dalam talak raj’ie kerana dia masih bergelar isteri dan suaminya berhak untuk kembali rujuk kepadanya.


PEREMPUAN YANG TELAH DIPINANG ORANG

HARAM MEMINANG :
1.    Perempuan yang telah dipinang oleh orang lain sekiranya pinangan tersebut telah diterima.
-    Peminangan boleh dilakukan sekiranya lelaki pertama memberikan keizinan kepada lelaki kedua untuk meminang.
-    Sekiranya pinangan lelaki pertama tidak dijawab (tidak diketahui sama ada pinangannya diterima atau tidak) pinangan lelaki kedua adalah diharuskan.
-    Sekiranya seorang lelaki meminang seorang perempuan yang telah dipinang oleh orang lain dan kemudiannya lelaki kedua menikahi perempuan tersebut, akad nikah tetap sah. Walaupun begitu dia tetap menanggung dosa perbuatannya meminang perempuan yang telah dipinang orang.
LARANGAN BAGI PASANGAN YANG SUDAH BERTUNANG ATAUPUN PASANGAN YANG BERCINTA

Seseorang yang belum berkahwin walaupun sudah bertunang dilarang melakukan perkara-perkara berikut :
1.    Dilarang melakukan pergaulan bebas seperti bermesra yang boleh membawa kepada perkara-perkara yang dilarang, berada ditempat-tempat yang sunyi seperti di dalam rumah dan berdua-duaan di dalam kereta di tempat sunyi yang boleh mendatangkan syak wasangka dan boleh diambil tindakan sebagai berkhalwat, melakukan mukadimah zina.
2.    Dilarang dan diharamkan melakukan zina : melakukan hubungan kelamin sebelum akad nikah yang sah kerana :
-    Zina merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar dan azabnya bagi yang melakukannya adalah sangat pedih di akhirat.
-    Keterlanjuran selalunya akan menimbulkan penyesalan dan menyebabkan berlakunya pelbagai masalah dalam kehidupan rumahtangga yang akan dibina, di mana akhirnya boleh menyebabkan berlakunya perceraian dan sebagainya.
3.    Dilarang berdua-duaan walaupun dengan tunang sendiri dan bergaul terlalu mesra dengannya

PENGERTIAN, MATLAMAT DAN HIKMAH PERKAHWINAN DALAM ISLAM

1.    Pengertian perkahwinan dari segi bahasa :
-    Bersatu dan berkumpul
Manakala dari segi syarak atau istilah :
-    Nikah itu satu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh/berseronok) antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak.
2.    Hikmah disyariatkan perkahwinan antara lain adalah sebagai :
-    Menyahut seruan fitrah manusia yang difitrahkan oleh Allah S.W.T.
-    Melahirkan keturunan yang soleh dan generasi yang berakhlak untuk masyarakat Islam.
-    Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani.
-    Menjaga kerosakan dan keruntuhan akhlak
-    Menjaga kesempurnaan dan kesejahteraan keturunan (zuriat) manusia.
-    Meluaskan medan persaudaraan dan membina prinsip bekerjasama
-    Memelihara diri daripada melakukan maksiat dan perkara-perkara yang mungkar serta haram.
-    Membentuk keluarga dan menyusun masyarakat
-    Menghubungkan silaturahim
3.    Matlamat perkahwinan :
-    Bagi mencapai kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan dan mendapat rahmat serta keredhaan Allah S.W.T. mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.

4.    Hukum berkahwin pula adalah berdasarkan keadaan seseorang itu sendiri :
1.    Sunat bagi lelaki berkahwin :
-    Mempunyai hajat atau berkeinginan bagi berkahwin.
-    Memiliki kemampuan dari segi nafkah diri dan keluarga.
-    Merasakan dirinya tidak akan terjerumus kedalam perkara maksiat jika tidak berkahwin.
Sunat juga bagi wanita
-    Sama seperti lelaki (syarat di atas)
-    Apabila dia memerlukan kepada perkahwinan bagi menjaga diri, serta agama serta mendapatkan nafkah.
2.    Wajib
-    Yakin akan terjebak ke dalam perbuatan zina jika tidak berkahwin.
-    Mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan belanja mas-kahwin, nafkah diri atau keluarga.
-    Tidak mampu menahan diri daripada melakukan perbuatan maksiat walaupun dengan berpuasa.
3.    Haram
-    Jika yakin akan dizalimi dan memudaratkan isteri jika dia mengahwininya.
-    Kerana tidak mampu memberi nafkah dan bertanggungjawab.
-    Tidak mampu untuk berlaku adil jika dia berkahwin seorang lagi atau berpoligami.
4.    Makruh berkahwin
-    Tidak pasti dan tidak yakin sama ada akan menzalimi atau memudaratkan isteri jika dia berkahwin.
-    Dia tidak memiliki kemampuan untuk berkahwin seperti tidak mampu menyediakan maskahwin dan memberikan nafkah.
-    Jika seseorang itu tidak berhajat untuk berkahwin seperti dia tidak berkeinginan sama ada disebabkan oleh faktor semulajadi, sakit atau sebab-sebab lain.


5.    Afdal tidak berkahwin
-    Seseorang itu mempunyai kemampuan tetapi dia tidak berhajat untuk berkahwin kerana tidak mempunyai keinginan.
-    Seseorang itu sibuk beribadat atau menurut ilmu. dalam keadaan ini memberikan tumpuan kepada menuntut ilmu dan beribadat adalah lebih baik daripada berkahwin kerana perkahwinan itu akan menganggu tumpuannya.
6.    Afdal berkahwin
-    Seseorang itu tidak sibuk beribadat dan tidak sibuk menuntut ilmu
-    Dia mempunya kemampuan untuk berkahwin tetapi tidak ada keinginan untuk berkahwin. Perkahwinan adalah lebih baik dalam keadaan sedemikian. Ini bagi mengelakkan menggunakan masa lapang dengan melakukan perkara maksiat dan mungkar. Perkahwinan akan mendatangkan kebaikan, memelihara zuriat serta meramaikan keturunan.

RUKUN NIKAH

Setiap pernikahan itu perlu memenuhi rukun nikah berikut, iaitu :
1.    Calon suami
2.    Calon isteri
3.    Wali
4.    Dua orang saksi
5.    Sighah (ijab dan qabul)
Rukun pertama
Lelaki yang akan berkahwin itu hendaklah :
-    Bukan mahram kepada perempuan yang ingin dikahwini.
-    Lelaki tertentu
-    Bukan berada dalam ihram haji ataupun umrah
Rukun kedua
Perempuan yang akan berkahwin itu hendaklah :
-    Tidak ada halangan bagi berkahwin
-    Ditentukan orangnya
-    Tidak dalam ihram haji dan umrah
Rukun ketiga
Wali. Syarat-syarat wali seperti berikut :
-    Mestilah dia seorang Islam
-    Adil
-    Baligh
-    Berakal
-    Bukan orang yang dilarang oleh syarak membelanjakan hartanya disebabkan safih (bodoh yang tidak mampu mengurus diri)
-    Bukan orang yang berihram
Rukun keempat
Dua orang saksi. Syarat-syaratnya ialah :
-    Islam
-    Lelaki
-    Berakal dan baligh
-    Adil walaupun pada zahirnya
-    Mendengar
-    Melihat
Rukun kelima
Sighah (ijab dan qabul)

SUSUNAN WALI
Kumpulan pertama
1.    Bapa
2.    Ayah kepada bapa(datuk) dan keatas
3.    Adik beradik lelaki seibu sebapa
4.    Adik beradik lelaki sebapa
5.    Anak saudara (anak kepada adik beradik lelaki seibu sebapa)
6.    Anak saudara (anak kepada adik beradik lelaki sebapa)
Kumpulan kedua
1.    Bapa saudara sebapa (adik beradik lelaki kepada bapa yang seibu sebapa)
2.    Bapa saudara sebapa (adik beradik lelaki kepada bapa yang sebapa)
3.    Sepupu (anak lelaki kepada bapa saudara yang seibu sebapa)
4.    Sepupu (anak lelaki kepada bapa saudara yang sebapa)

Kumpulan ketiga
1.    Bapa saudara kepada bapa seibu sebapa ( adik beradik dengan datuk)
2.    Bapa saudara kepada bapa sebapa (adik beradik dengan datuk)
3.    Bapa saudara kepada datuk seibu dan sebapa (adik beradik dengan moyang)
4.    Bapa saudara kepada datuk sebapa (adik beradik dengan moyang)
5.    Anak lelaki kepada bapa saudara kepada datuk seibu sebapa
6.    Anak lelaki kepada bapa saudara kepada datuk sebapa
7.    Anak lelaki kepada bapa saudara kepada bapa seibu sebapa.
8.    Anak lelaki kepada bapa saudara kepada bapa sebapa
9.    Wali hakim (sekiranya tiada wali-wali yang tersebut di atas)


PEMBUBARAN PERKAHWINAN
1.    Talak (cerai)
2.    Fasakh (pembubaran perkahwinan disebabkan oleh sesuatu keadaan yang diharuskan oleh hokum syarak dengan kuasa mahkamah syariah.
3.    Khulu’ (cerai dengan tebus talak)
4.    Zihar (suami menyamakan mana-mana anggota zahir isteri dengan anggota wanita mahram muabbad)
5.    Li’an (suami bersumpah menuduh isterinya berzina atau menafikan anak yang dikandung atau dilahirkan oleh isterinya sebagai anaknya)
6.    Ila’ (sumpah seorang suami untuk tidak melakukan hubungan kelamin dengan isterinya melebihi 4 bulan atau tanpa had)

Lafaz talak
Lafaz atau sighah talak terbahagi kepada dua iaitu
-    Talak yang sorih (jelas)
-    Talak secara kinayah (sindiran)
 Jenis talak
-    Talak raj’i
-    Talak bain
1.    Bain sughra (kecil)
2.    Bain kubra (besar)

IHDAD – kewajipan berkabung oleh isteri yang kematian suami dalam perkahwinan yang sah dalam iddah raj’i.
Peraturan ihhad :
-    Tidak boleh bersolek, memakai wangi-wangian dan memakai perhiasan yang berlebihan
-    Tidak boleh keluar rumah tanpa tujuan yang diharuskan oleh syarak
-    Tidak boleh menerima pinangan

IDDAH – suatu tempoh menunggu bagi isteri yang diceraikan ataupun kematian suami sebelum dia dibolehkan berkahwin dengan lelaki lain.
RUJUK – mengembalikan isteri yang ditalak raj’I kepada ikatan perkahwinan yang asal dengan lafaz tertentu. Tidak sah rujuk melainkan dengan lafaz dan sunat dipersaksikan.
MUT”AH – bayaran saguhati yang diberi dari segi hukum syarak kepada isteri yang diceraikan. Hukumnya adalah wajib.
HADHANAH -penjagaan dan pendidikan kanak-kanak yang belum boleh berdikari sehingga sampai umur mumayyiz (dapat membezakan perkara yang bersih dan kotor). Selepas umur mumayyiz sehingga baligh dinamakan kafalah. Walaubagaimanapun, kedua-duanya (hadhanah dan khafalah) bentuknya adalah sama dari segi jagaan.
POLIGAMI – merujuk kepada dimana seseorang itu berkahwin dengan beberapa orang sekaligus.
Bentuk poligami
-    Poligini ( seseorang lelaki mempunyai beberapa isteri)
-    Poliandri ( seseorang wanita mempunyai beberapa suami)
-    Perkahwinan berkelompok ( campuran poligini dan poliandri)

No comments:

Post a Comment