Sunday, October 21, 2012

Taubat Pasport Ke Syurga

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Mohammad Ikhram bin Abdul Rahman
No pelajar : 2012217034
Kumpulan : ACD1AZ

Konsep dosa dalam islam

Pengertian dosa dan pembahagiannya
Dosa bermaksud balasan buruk daripada Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang melanggar perintahNYA. Dalam islam, dosa terbahagi kepada dua kategori iaitu dosa besar dan dosa kecil.

1.    Dosa besar – menurut imam az-Zahabi, dosa besar bermaksud segala larangan Allah SWT dan rasulNYA yang akan dikenakan hukuman had (hudud) di dunia atau mendapat azab di akhirat. Dosa ini tidak akan terhapus sehingga si pelaku insaf dan bertaubat.
  
contoh dosa besar:
syirik kepada Allah SWT
meninggalkan solat fardu
berzina
derhaka kepada ibu bapa
membunuh manusia tanpa hak
minum arak dan judi

2.    Dosa kecil – kesalahan yang tidak dikenakan hukuman tertentu semasa di dunia mahupun seksa di akhirat. Dosa ini akan terhapus apabila kita melakukan amal ibadat serta memperbanyakkan istighfar kepada Allah SWT.

Mengapa kita melakukan dosa?

1.    Jahil hukum agama
Tuntutlah ilmu bermula dari dalam buaian sehingga ke liang lahad. Sekiranya didikan agama tidak diberi secukupnya kepada anak-anak, kesannya sangat mempengaruhi sikap dan pemikiran mereka. Faktor-faktor yang menyebabkan ibu bapa lalai dalam mementingkan nilai islam di kalangan anak-anak ialah ibu bapa sendiri jahil akan hukum-hakam, tidak mengamalkan ajaran islam, dan mementingkan urusan duniawi.


2.    Lemahnya iman

Iman adalah paksi utama dalam kehidupan. Sesunguhnya dengan beriman, kita telah membenarkan dengan hati, mengakui dengan lidah dan beramal melalui dengan anggota badan. Sekiranya iman lemah, individu akan mendorong kepada sikap negatif. Apabila iman sudah lemah, maka individu tidap dapat membezakan yang baik atau sebaliknya. Malah lebih merisaukan, apabila menganggap baik untuk perkara yang haram dan menganggap buruk untuk perkara yang halal.



3.    Keras hati dan kurang penghayatan terhadap ajaran islam
Media massa memainkan peranan penting di zaman ini agar syiar islam dapat disebar dengan cepat, mudah dan menyeluruh. Dakwah ini tidak mahu dipedulikan dengan beranggapan hanyalah membuang masa dan menyekat kebebasan hidup. Orang yang keras hati biasanya mempunyai hawa nafsu yang tidak terkawal. Setiap perbuatan mereka akan bertukar menjadi lebih agresif dan sukar menerima kebenaran. Ini boleh terjadi kerana tidak munasabah diri dan lupa mensyukuri akan segala nikmat yang di anugerahkan oleh Allah SWT.



4.    Mudah terpengaruh dengan kemewahan duniawi

Dunia hanya pinjaman semata-mata. Tempat persingahan sebelum menuju alam akhirat yang kekal abadi. Dunia juga pentas sandiwara keseronokan didorongi hasutan syaitan yang akan melalaikan kita dari Allah SWT.

“dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia ini melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan. Sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Apakah kamu tidak berfikir? “ – surah al An’am:32



5.    Kurang perhatian dan kasih sayang ibu bapa terhadap keluarga
Keluarga merupakan institusi yang bertanggungjawab atas asuhan dan didikan anak-anak. Ibu bapa diberi amanah oleh Allah SWT untuk mencorakkan kehidupan dan kebahagiaan anak-anak di dunia sehingga di akhirat. Anak-anak yang kurang diberi perhatian dari ibu bapa akan merasakan diri mereka seperti tidak dipedulikan. Oleh itu, kesan kepada berfikiran itu, anak akan menjadi lebih liar. Anak akan mencari keseronokan di luar rumah. Keadaan lebih parah apabila berlaku penceraian dalam sesebuah keluarga. Hal ini akan memberi kesan fizikal, mental dan emosi.

Tuntutan taubat

Pengertian taubat dan hukumnya
Taubat bermaksud permohonan ampun yang disertai rasa sesal dan berazam kembali ke jalan yang benar. Taubat nasuha pula ialah taubat yang bersungguh-sungguh secara jujur dan ikhlas, bertekad tidak mengulanginya lagi serta kembali kepada Allah SWT.
Hukum bertaubat ialah wajib bagi setiap anak Adam. Ini kerana pada zahirnya, kita tidak boleh terlepas daripada melakukan dosa. Para ulama menetapkan bahawa bertaubat itu wajib dilakukan dengan segera tanpa menangguh sehingga ke hari tua.

Mengapa kita wajib bertaubat?
I.    Tuntutan taubat adalah perintah dan suruhan Allah SWT
“ wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang sebenar-benar).. ” –surah at- Tahrim:8
Berdasarkan dalil diatas, jelas menunjukkan bahawa taubat adalah suatu suruhan daripada Allah SWT. Biarpun kita sering tidak terlepas dari melakukan dosa, namun rahmatnya yang melangit luas akan memperkenankan permintaan taubat kita. Sekiranya tidak mengambil peluang ini, maka dia tergolong dalam golongan yang rugi.

II.    Mohon taubat hanya kepada Allah SWT sahaja
Kehidupan kita penuh dengan cabaran yang mesti dihadapi. Dengan kekuasaan, pangkat dan darjat menjadikan kita lalai daripada mengingati Sang Pencipta. Apabila di uji, maka timbullah kesedaran terhadap kesilapan lalu. Keinsafan untuk kembali kepada Allah SWT perlu disyukuri kerana masih berpeluang memohon keampunan dari NYA.

“ dan bertaubatlah kamu kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu memperoleh kejayaan. ” – surah an-Nur: 31

III.    Kita mudah dipengaruhi hawa nafsu
Nafsu terbahagi kepada dua iaitu:
•    Ammarah- nafsu yang mengarahkan kepada kejahatan.
•    Lawwamah- nafsu yang mengarah kepada kebaikan.
Sesiapa yang lemah imannya, maka nafsu Ammarah akan mempengaruhinya sehingga sanggup hidup bergelumang dengan pelbagai dosa.
“ dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia nanti akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.. ” – surah Sad:26

IV.    Kita lalai dengan nikmat Allah SWT
Kadangkala nikmat itulah yang akan menjahanamkan hidup kita jika disalahguna. Segala harta kekayaan hanya pinjaman dan bersifat sementara. Sepatutnya, ia digunakan di jalan Allah. Sebilangan muslim yang lemah imannya dalam menguruskan harta kekayaan dengan cara yang betul. Mereka hanya menyalurkan harta tersebut untuk kepentingan duniawi semata-mata.
“ wahai orang yang beriman, janganlah harta dan anak-anakmu melalaikan daripada mengingati Allah kerana sesiapa yang berbuat demikian, maka merekalah orang yang rugi. ” – surah al-Munafiqun:9

V.    Dosa boleh memberi mudarat kepada kita

•    Dosa syirik boleh membatalkan segala pahala amalan baik
•    Dosa minum arak dan ketagihan dadah menjejaskan kesihatan
•    Dosa zina mendatangkan penyakit dan gejala buang bayi
•    Dosa judi, riba dan makan harta anak yatim berpotensi mencetuskan pergaduhan atau pembunuhan
•    Dosa derhaka terhadap ibubapa dapat menghalang seseorang anak memasuki syurga.

Keutamaan taubat
Apabila seseorang tergelincir jauh daripada Allah SWT, maka berusahalah untuk kembali ke jalan yang benar semula. Penyucian yang sebenar ialah dengan mengembalikan fitrah diri di bawah keampunan dan keredhaan-NYA.

“ dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah SWT wahai orang yang beriman, semoga kamu Berjaya. ”- surah an-Nur: 31

Allah sentiasa membuka pintu harapan kepada hambanya memohn keampunan. Kelebihan orang yang bertaubat ialah memperolehi penguasaan Allah SWT, dikurniakan rahmat, keberkatan dan kemurahan rezeki sehingga hidup menjadi semakin aman bahagia. Setiap amalan akan diberi ganjaran pahala yang besar dan nikmat berterusan hingga ke akhirat.

Tingkatan taubat
Seseorang tidak dapat lari dari melakukan dosa sama ada dosa zahir (dosa dilakukan oleh tujuh anggota kita) atau dosa batin (dosa yang lahir dalam hati). Oleh itu, semua dosa tersebut dapat dibersihkan dengan bertaubat. Taubat mempunyai beberapa peringkat.

I.    Taubat orang awam
Martabat ini taubat dari segala dosa atau maksiat yang zahir seperti berzina, membunuh dan laim-lain. Dosa batin pula ialah maksiat di dalam hati. Orang awam yang dimaksudkan ialah golongan yang tidak mengetahui atau tidak mempelajari ilmu usuluddin (ilmu tauhid) dan ilmu fiqh (ibadat serta hukum agama).
Menurut imam ghazali:
“ sesiapa yang tiada mengetahui (memepelajari) ilmu kaum sufi (ilmu tasawuf), nescaya ditakuti ke atasnya mati di dalam kejahatan. ”

II.    Taubat orang khawwas
Taubat ini bermaksud taubat daripada maksiat batin iaitu dosa yang bersarang di dalam hati. Misalnya dosa ujub, takabur, hasad dengki dan sebagainya. Golongan ini sentiasa mengamalkan sifat zuhud, warak, khusyuk dan ikhlas kepada Allah. Mereka juga tidak mengharapkan pujian atau sanjungan daripada masyarakat.

III.    Taubat orang khawwas la-khawwas
Martabat ketiga ialah taubat terhadap segala perkara yang melalaikan dari mengingati Allah SWT. Insan sebegini akan bertaubat termasuklah segala keburukan yang terlintas di dalam hati mereka. Tiada penangguhan taubat sepertimana orang yang lalai.

IV.    Taubat orang yang mengerjakan maksiat
Sesiapa yang mengerjakan maksiat wajib bertaubat. Ini bermaksud meninggalkan kemaksiatan telah atau belum dilakukan dengan bertaubat sehingga ke akhir hayat. Inilah yang dipanggil ISTIQAMAH. Oleh itu, jiwa akan menjadi lebih tenang dan mengharapkan keredhaan Allah SWT.

V.    Orang yang bertaubat dengan menempuh jalan keteguhan hati dalam melakukan ketaatan utama dan meninggalkan segala keburukan
Orang yang bertaubat di tahap ini masih mengakui akan adanya azab dan kemurkaan Allah SWT. Mereka juga sentiasa mengawasi setiap rayuan hawa nafsu yang menjurus kepada kejahatan. Mereka ini termasuk dalan golongan nafsu lawwamah. Ini kerana mampu mengawasi diri daripada melakukan perkara diri daripada melakukan perkara yang tercela
“ orang yang mendapat kebaikan adalah yang menjauhi dosa-dosa besar dan beberapa kemaksiatan, kecuali salah silap yang kecil (lintasan di dalam hati). Sesunguhnya, Tuhanmu adalah amat luas pengampunannya.” –surah an-Najm: 32

VI.    Orang yang berterusan bertaubat dalam keteguhan hati
Golongan ini merasakan bahawa mereka tidak menafikan adanya godaan hawa nafsu yang boleh menewaskan hati. Namun, mereka yakin akan kekuasaan Allah yang maha kuasa member keazaman yang kuat untuk mengekang kemahuan nafsu. Dengan itu, mereka akan terlepas daripada kancah kemasiatan Allah SWT tetap akan menerima taubat mereka.

VII.    Orang yang bertaubat tetapi adakalanya berbuat dosa.
Menurut ulama tasawuf, golongan ini dianggap golongan yang bodoh atau gila. Hal ini dibimbangi mereka tidak memperoleh keampunan yang menyeluruh. Hanya Allah SWT berhak mengampuni dosa mereka jika ada penyesalan yang diiringi dengan keikhlasan hati.
Syarat-syarat diterima taubat

Menurut imam Ghazali, taubat mengandungi empat syarat:
1)    Sengaja meninggalkan dosa
Hendaklah menetapkan hatinya dan bercita-cita tidak akan mengulanginya lagi. Di samping itu, berazam bersungguh-sungguh untuk meninggalkan dosa itu dengan hati yang ikhlas.

2)    Taubat daripada dosa-dosa yang lalu
Wajib bertaubat kepada Allah SWT daripada segala dosa yang lampau dengan mempersiapkan dan menjaga diri daripada kufur serta fasik.

3)    Meninggalkan dosa berdasarkan kedudukan bukannya rupa paras seseorang
Dosa perlu ditinggalkan tidak perlu melihat jenis kesalahan yang dilakukan. Bertaubatlah tanpa ragu-ragu kerana pintu taubat tidak pernah tertutup sebelum terlambat. Seterusnya bertaubatlah dengan harapan mendapat pengampunan Allah SWT.

4)    Sengaja meninggalkan dosa kerana mengagungkan ALLAH SWT.
Meninggalkan dosa bukan kerana tidak mampu atau ingin dipuji, tetapi semata-mata kerana mengagungkan Allah SWT dan takut kepada azabNYA. Justeru itu, apabila bertaubat maka taubat nya pasti akan dimakbulkan.


Sesungguhnya taubat yang bernilai ialah TAUBAT NASUHA (taubat yang benar-benar dengan penyesalan yang mendalam dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi)

“ Penyesalan (dalam hati) itu adalah taubat.”-HR ibnu majah, ibnu Hibban dan Hakim

Bertaubat dengan hati bermaksud hendaklah ditutup segala jalan kejahatan dengan merendahkan diri kepada Allah SWT demi memohon keampunan NYA. Hendaklah merasakan diri sebagai hamba. Wajib menundukkan sikap sombong sesama insan disamping berjanji akan memberi kebaikan kepada agama.

Bertaubat dengan lidah atau lisan ialah seseorang itu telah melakukan kezaliman terhadap diri sendiri kemudian memohon keampunan Allah SWT dengan penuh ikhlas. Selain itu, ia juga akan menggerakkan seseorang itu beribadat dan bermunajat memuji keagungan ILAHI dan sentiasa memelihara ketentuan hukum-hukum NYA.

Bertaubat dengan anggota badan ialah menjaga segala anggota tubuh dari melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT. Kita perlu mengunakannya untuk menjalani ketaatan seperti ibadat fardu atau sunat. Selain itu, kita juga harus menghisab diri sendiri akan amalan yang dilakukan. Kemudian berusaha menghapuskan kejahatan dengan melakukan kebaikan.


Hikmah taubat

o    Dikasihi Allah SWT
Amalan taubat amat menjadi tuntutan dalam Islam. Ini kerana orang yang bertaubat dapat membersihkan hati dan akhlak yang buruk di samping membersihkan dosa lalu.
“ sesungguhnya ALLAH mengasihi orang yang bertaubat dan yang menyucikan diri. ” –Surah al-Baqarah


o    Mendapat petunjuk Allah SWT
Muslim yang beramal soleh disertai dengan amalan beristighfar kepada Allah SWT pasti mendapat hidayah. Ini akan menjadikan diri serasi dengan perkara kebaikan dan akan menghindari dari perkara kemungkaran.


o    Taubat yang ikhlas diterima Allah SWT
Keikhlasan taubat merupakan syarat utama memperoleh keampunan Allah SWT. Di samping itu, individu itu haruslah bersungguh-sungguh agar tidak kembali kepada dosa yang lalu.
“ Wahai orang yang beriman, bertaubat lah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan TUHAN kamu menghapuskan segala kesalahanmu ”
- Surah at-Tahrim



o    Allah mengampuni dosa orang bertaubat
Allah SWT memiliki sifat Maha Pengampun kepada setiap hambaNYa. Hanya satu dosa yang tidak akan mendapat keampunannya iaitu syirik. Menurut ulama, dosa yang melibatkan manusia maka haruslah memohon maaf terlebih dahulu. Seterusnya, Allah akan mengampuni dosa insan tersebut.
“ TUHAN yang mengampunkan dosa dan menerima taubat… ”- Surah al-Mukmin


o    Mendapat ganjaran syurga
Allah tidak akan mempersia-siakan balasan bagi para hamba-NYA yang bertaubat. Ganjaran yang akan diperolehi adalah dapat memasuki syurga yang mengalirnya sungai-sungai di bawahnya di akhirat kelak. Mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya.



4 perkara yang membuktikan seseorang itu diterima taubatnya.
i.    Mengawal kata-kata yang sia-sia.
ii.    Lenyapnya sifat dengki dan iri hati terhadap manusia.
iii.    Mampu menghindarkan diri dari sahabat yang jahat.
iv.    Bersedia menghadapi mati, tekun beribadat, sentiasa beristighfar dan menyesali dosa-dosa yang lalu.



Ruginya tidak bertaubat

i.    Hati menjadi keras
ii.    Menjadi angkuh
iii.    Menjadi munafik
iv.    Menjadi sahabat syaitan
v.    Tergolong sebagai yang mensia-siakan umur sendiri
vi.    Hati dan jiwa tidak tenteram
vii.    Iman akan tercalar
viii.    Mendapat azab sepanjang hidup
ix.    Menjadi kufur terhadap Allah SWT
x.    Tergolong sebagai orang zalim
xi.    Tergolong orang yang mendustakan Allah SWT dan Rasullah saw
xii.    Insan telah melampaui batas
xiii.    Mendapat penghinaan daripada Allah SWT
xiv.    Menjadi hamba yang derhaka kepada Allah SWT
xv.    Mati dalam keadaan suul khatimah (keadaan yang buruk)

No comments:

Post a Comment