Sunday, October 21, 2012

Penjelajahan Dan Penerokaan

DISEDIAKAN UNTUK: USTAZ ABDUL AZIZ BIN HARJIN
DISEDIAKAN OLEH: AHMAD AKMAL BIN AHMAD 2011979397
PROGRAM: DIPLOMA PENGAJIAN PERNIAGAAN
TARIKH HANTAR: 13 SEPTEMBER 2012

PENDAHULUAN
Pada pandangan Barat penjelajahan dan penerokaan yang dilakukan oleh mereka tertumpu kepada tiga aspek besar iaitu tiga G (gospel,glory and gold,yakni,agama,politik dan ekonomi).Matlamat akhir mereka ialah penjejajahan ke atas negeri-negeri yang ditaklukinya.Mereka tidak melihat lebih daripada itu kerana tujuan utama mereka ialah untuk mendapatkan kuasa dan keuntungan tanpa menjaga kebajikan dan kepentingan masyarakat tempatan.Keadaanya berbeza dengan konsep penjelajahan dan penerokaan dari perspektif Islam kerana matlamat utama mereka bukan untuk tujuan penjajahan atau mendapatkan keuntungan,tetapai untuk menjaga kebajikan dan keadilan sesuai dengan tuntutan ajaran agama Islam itu sendiri.Dengan kata lain,jika penjelajah dan peneroka Barat memfokuskan P iaitu pembebasan,pengislaman dan pengintlektualan.Hal ini akan dijelaskan pada huraian seterusnya.

 KONSEP PENJELAJAHAN DAN PENEROKAAN
Sebelum menjelaskan lebih lanjut tenetang konsep penjelajahan dan penerokaan daripada perspektif Islam terlebih dahulu kita perlu tahu definisi penjelajahan dan penerokaan dari perspektif umum.Menurut Kamus Dewan,penjelajahan ialah perihal men jelajahi mengelilingi atau berjalan ke merata tempat untuk menyelidiki.Manakala penerokaan pula ialah perihal perbuatan,usaha dan sebagainya meneroka atau menerokai.
 Seperti yang diketahui umum alam ini adalah amat kompleks sifatnya sehingga tidak dapat diketahui oleh manusia semua sifatnya.Mengikut kepercayaan yang menjadi pegangan orang Islam,alam ini adalah makhluk yang dicipta oleh Allah SWT.Allah SWT tidak melarang manusia untuk berusaha men cari dan menerokai kejadian alam untuk faedah manusia.Islam memerintah manusia merenung,memikir, dan mengkaji kejadian alam itu supaya manusia sedar tentang kewujudan manusia sendiri sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi.
 Oleh yang demikian,dalam penjelajahan dan penerokaan pada pandangan Islam adalah perlu dilakukan bagi menmbah ilmu dan keimanan.Firman Allah SWT dalam Surah al-Jumuah,ayat 9 yang bermaksud:
BERTABURANLAH KEMBALI DI MUKA BUMI UNTUK MENCARI KURNIAAN TUHAN,BANYAK-BANYAK MENGINGATI ALLAH SUPAYA KAMU MENDAPAT KEJAYAAN
 Dari perspektif Islam,penjelajahan dan penerokaan dilakukan untuk pelbagai tujuan.Antaranya ialah untuk membebaskan manusia daripada cengkaman penjajahan dan kejahilan dengan cara menyebarkan dakwah Islam,ilmu serta memakmurkan bumi Allah SWT meerusi aktiviti ekonomi dan perdagangan.

 KEPENTINGAN PENJELAJAHAN DAN PENEROKAAN
Penjelajahan dan penerokaan amat penting dari perspektif Islam.Ini dapat dilihat menerusi ayat Al-Quran yang menerangkan tentang perkara yang berkaitan dengan penerokaan dan penjelajahan. Antaranya ialah firman Allah SWT dalam Surah al-Mukmin,ayat 82 yang bermaksud:
APAKAH MEREKA TIDAK MENGEMBARA DI MUKA BUMI DAN MEMERHATIKAN KESUDAHAN ORANG SEBELUM MEREKA?
Dalam Surah al-Haj,ayat 46 yang bermaksud:
APAKAH MEREKA TIDAK MENGEMBARA DI MUKA BUMI?
 Daripada ayat-ayat di atas,membuktikan peripentingnya penerokaan dan penjelajahan.Penerokaan amat dititikberatkan oleh Islam.Antaranya kepentingan penjelajahan dan penerokaan dari perspektif Islam ialah aspek pembebasan,pengislaman dan pengintelektualan.

PEMBEBASAN
ASPEK POLITIK
Penjelajahan dan penerokaan amat penting dari segi politik.Dengan adanya kuasa politik menyebabkan umat Islam disegani oleh pihak lawan.Bagi memperkukuhkan politik Islam banyak penerokaan ke kawasan-kawasan baru dibuat oleh pemerinah Islam.Ini dapat dilihta semasa pemerintahan `Abdul Malik bin Marwan.Seluruh Afrika Utara telah dikuasai oleh orang Islam.Dari Afrika orang Islam mara ke Eropah.Akhirnya sebahagian bear Semnanjung Iberia atau Andalus telah dikuasai oleh orang Islam.
 Semasa pemerintahan Khalifah al-Walid bin `Abdul Malik keluasan wilayah Islam menjangkau dari negeri China di sebelah timur hingga sampai ke wilayah Rom di sebelah Barat.
ASPEK EKONOMI
Penjelajahan dan penerokaan amat penting dalam bidang ekonomi.Ini dapat dilihat semasa pemerintahan al-Walid bin `Abdul Malik.Ketika itu,pedagang Islam berkesempatan membuat perdagangan sehingga ke negeri China serta ke lain-lain daerah selatan.Barangan yang diperdagangkan ialah sutera,pinggan mangkuk dan kertas dari China, dan permaidani,kain,batu permata dari Parsi,Mesir dan Iraq serta lain-lain daerah.Pedagang Arab juga telah menjelajah hingga ke daerah-daerah India,Eropah dan China.
ASPEK KEBUDAYAAN
Perkembangan kebudayaan amat berkait rapat dengan penjelajahan dan penerokaan.Akibat daripada penerokaan dan penjelajahan menyebabkan umat Islam menjadi berbilang bangsa.Kebudayaan yang terdapat di kalangan negeri-negeri Islam yang berbilang bangsa itu menjadikan kebudayaan Islam lebih kaya.Kebudayaan ini sedikit sebanyak pengaruh mempengaruhi satu sama lain.

PENGISLAMAN
Penerokaan dan penjelajahan amat penting dari segi menyebarkan Islam.Ini disebabkan ia memainkan peranan penting dalam penyebaran agama Islam.Perkara ini dapat dilihat kepentingannya apabila ramai pendakwah Islam menjelajah dan meneroka ke seluruh dunia bagi memperkenalkan dan menyeru umat manusia memeluk Islam.Misalnya,kita dapat melihat di kalangan pendakwah yang terawal ke Alam Melayu.Antara mereka yang diketahui namanya ialah Syeikh Ismail yang menyebarkan agama Islam di Pasai.Syeikh Abdul Arif di utara Sumatera sebagaimana yang dicatatkan dalam Hikayat Acheh dan muridnya bernama Syeikh Burhanuddin yang menyebarkan agama Islam di Sulu bersama Sayid Abdul Bakar,Maulan Malik Ibrahim di Gresik,Jawa (803/1400) dan Syeikh Abdul Aziz di Melaka sebagaimana tercatat dalam Sejarah Melayu.Pendakwah-pendakwah inilah yang memainkan peranan bagi menyebarkan agama Islam ke seluruh Alam Melayu.

PENGINTELEKTUALAN
Penjelajahan dan penerokaan penting bagi menuntut ilmu pengetahuan.Islam memerintahkan umatnya mencari ilmu untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.Dalam menjalankan kegiatan penjelajahan dan penerokaan,umat Islam telah dapat mencedok banyak ilmu pengetahuan sama ada dari tamadun sebelumnya ataupun dari pemerhatian alam ini.Antara ilmu tersebut ialah seperti ilmu astronomi,geografi,perubatan dan lain-lain.
ILMU ASTRONOMI
Istilah astronomi asal daripada perkataan Yunani astro yang bermaksud `yang berkaitan dengan bintang’.Astronomi ialah sau cabang ilmu yang berkaitan dengan kajian bukan sahaja bulan-bintang tetapi juga planet,galaksi,jirim antara bintang,nova,supernona,nebula,dan apa juga bahan dan jasad yang terdapat di angkasa lepas.
 Pada peringkat awal orang Islam mempelajari ilmu astronomi,karya astrnomi yang dihasilkan oleh orang Parsi telah diterjemahkan.Zij-i Syahi,sebuah buku astronomi yang dihasilkan pada tahun 555M,telah diterjemahkan ke dalam bahaa Arab oleh Abu Hassan al-Tamimi dan tafsirnya dibuat oleh Abu Ma’shar.
 Astronomi India juga dapat pelajari disebabkan penjelajahan dan penerokaan ke India.Pada tahun 155H/771M seorang perwakilan dari India dan menolong menterjemahkan buku-buku Siddhanta Brahmagupta.Ya’qub ibn Tariq,seorang ahli astronomi yang berguru kepada pendita India juga memainkan peranan dalam membawa pengaruh astronomi India ke dalam ilmu falak Islam.Siddhanta terus manjadi rujukan hingga ke zaman al-Ma’mun.
ILMU GEOGRAFI
Geografi adalah satu disiplin yang mengkaji ruang dari segi struktur,organisasi dan formasi sosialnya (Peet dan Lyons 1981).
 Umat Islam pada awal sejarahnya tidak mempunyai maklumat yang banyak berkenaan geografi.Namun begitu,selepas wilayah orang Islam menjadi luas mereka menterjemah buku-buku purba dari tamadun Yunani,Parsi,Mesir,India dan lain-lain.Umat Islam juga mempunyai maklumat di kawasan-kawasan selatan Eropah.Orang Islam juga tahu kawasan-kawasan selatan dan timur Asian dan utara Afrika hingga ke zon tropika.Umat Islam juga telah mencatatkan secara terperinci berkenaan kawasan di sebelah utara Korea hingga `Laut yang Gelap’(The Arctic Ocean).
 Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa daripada penjelajahan dan penerokaan amat penting.Ini kerana melalui penerokaan ini umat Islam dapat mempelajari ilmu geografi.

ILMU PERUBATAN
Akibat daripada penjelajahan dan penerokaan,telah membawa kemajuan dalam bidang ilmu perubatan.Ilmu perubatan Muslim bermula pada zaman pemerintahan Bani Umayyah (661-72M). Namun begitu kemajuan yang pesat dalam bidang perubatan berlaku pada zaman `Abbasiyah (750-1258M).
 Pada kedua-dua zaman ini,banyak berlaku penjelajahan dan penerokaan.Oleh itu banyak ilmu perubatan umat Islam telah ditimba terutamanya dari sumber asing,khususnya dari orang Parsi,Kristian atau Yahudi,Yunani,India dan Mesir.Oleh itu ilmu perubatan Muslim lahir sebagai integrasi antara teori-teori perubatan Yunani,tradisi Hippokrates dan Galen serta pengalaman bangsa Parsi dan India kerana para doktor Parsi dan India berpengalaman,khususnya dalam bidang farnakologi.

HIJRAH
DEFINISI HIJRAH
Ramai penulis zaman moden menterjemahkan perkataan hijrah bererti lari(flight).Kata mereka Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya telah melarika diri dari Makkah ke Yathrib kerana takut diseksa dan di ancam oleh kaum Musyrikin Quraisy.Terjemahan dan tafsiran hijrah seumpama ini adalah tidak benar dan menyeleweng daripada maknanya yang sebenar.
 Hijrah ialah perkataan Arab yang diambil daripada kata dasar hajara ertinya `perpindahan’ (migration).Pada umumnya perpindahan diertikan sebagai satu langkah memperbaiki nasib hidup di dunia,seperti orang berpindah dari desa ke bandar untuk mencari pekerjaan yang lebih baik.Tetapi hijrah merupakan suatu konotasi yang berbeza dan mempunyai orientasi dan objektif yang lebih luas daripada itu,meliputi aspek rohani dan jasmani bagi tujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
 Orang yang berpindah disebut muhajir (jamak:muhajirin atau muhajirun).Hijrah yang dimaksudkan di sini ialah hijraj orang Islam ke Makkah ke Yathrib bermula pada 1 Muharam 1 H (16 Julai 622M).Vermula dari tarikh itulah tahun (takwim) Islam (tahun Hijrah) digunakan.
TUJUAN HIJRAH
Tujuan sebenar mereka berhijrah bukanlah kerana takut atau cuba melarikan diri daripada kaum Quraisy,tetapi ia mempunyai tujuan dan objektifnya tersendiri.Objektif utama ialah untuk mematuhi perintah Allah SWT.Objektif kedua ialah untuk mempertingkatkan dakwah Islamiyah dengan cara yang berkesan dan praktikal.Banyak lagi tujuan lain,sama ada yang berbentuk taktik dan strategi politik,ketenteraan dan sosioekonomi mahupun yang berbentuk keagamaan seperti meninggalkan masyarakat yang keji dan ingkar kepada Allah SWT seperti yang sering diutarakan oleh ahli-ahli teologi Islam.Sebagai contoh,seorang individu,puak atau kelompok perlu membebaskan diri daripada cengkaman politik,ekonomi dan sosial.Daripada pembebasan itu lahir pula tujuan-tujuan lain yang lebih bersifat pembinaan dan pembangunan dari segi politik,ilmu,pemikiran,ekonomi dan sosiobudaya.
 Yathrib(Madinah) telah dipilih sebagai tempat hijrah kerana kesesuaiannya sama ada dari segi geografi mahupun dari segi struktur sosialnya.Madinah merupakan kawasan strategik yang menghubungkan antara tiga perdagangan penting iaitu Syam(Syria) di sebelah utara antara Yaman dan Makkah di sebelah selatan.Sementara dari segi sosial,masyarakat Madinah merupakan masyarakat majmuk yang terdiri daripada masyarakat Arab dan bukan Arab.Keadaan ini membantu Nabi Muhammad SAW dan umat Islam merangka suatu struktur pemerintahan yang lebih global bagi menerokai alam yang lebih luas di luar kota Madinah setelah agama Islam berkembang.Dengan itu proses penerokaan dan penjelajahan akan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan berkesan lagi.


KONSEP HIJRAH DAN KAITANNYA DENGAN PENJELAJAHAN DAN PENEROKAAN
Hijrah Nabi Muhammad SAW dari kota Makkah ke kota Madinah boleh dianggap sebagai titik tolak kepada pembinaan dan pembangunan umat Islam.Ia boleh dijadikan contoh dan teladan bagi para penjelajah dan peneroka Islam yang ingin mengubah nasib hidup yang lebih baik.Hijrah Nabi Muhammad SAW penuh dengan dugaan dan cabaran serta taktik dan strategi yang berkesan dari mula hingga ke akhirnya.
 Hijrah merupakan proses jangka panjang dalam perjuangan hidup.Ia dilakukan secara terancang dan teratur sama ada dari segi kerohanian mahupun kebendaan.Walaupun Nabi Muhammad SAW sudah diberikan jaminan keselamatan oleh Allah SWT,tetapi Baginda tidak berhenti berusaha bagi melaksanakan jaminan Allah SWT itu.Sebagai contoh,Baginda sanggup mengupah `Abdullah bin Arqat untuk memandu jalan ke Madinah walaupun `Abdullah seorang yang musyrik(bukan Islam). Dalam konteks ini tidak ada salahnya mendapatkan bantuan orang bukan Islam bagi kemanfaatan orang Islam selagi dia bersifat ikhlas dan jujur.Di samping itu Nabi Muhammad SAW memilih waktu yang sesuai untuk memulakan hijrah serta mencari jalan yang lebih selamat supaya selamat sampai ke detinasi yang ditujui.Berikutnya ialah mencari teman atau sahabat yang setia,jujur dan ikhlas untuk mengharungi penjelajahan.Seterusnya meminta keredhaan dan restu daripada Allah SWT setiap waktu dan ketika,sama ada waktu senang ataupun waktu susah.
 Menerusi hijrah telah mempertingkatkan keyakinan dan keimanan serta tabah dalam memperjuangkan keadilan dan kebenaran.Menerusi semangat hijrah,umat Islam telah berjaya membebaskan masyarakat dari belenggu penjajahan Rom dan Parsi.Dalam tempoh tidak sampai satu abad umat Islam telah berjaya mendirikan sebuah empayar besar.
 Hijrah juga telah membawa suatu perubahan sosial yang besar.Sewaktu di Makkah mereka hidup secara berkelompok atau berkalibah.Di kalangan masyarakat peniaga Musyrikin Makkah telah lahir sifat individualistik,iaitu hanya mementingkan diri sendiri.Di samping itu lahir pula kelas-kelas dalam masyarakat,iaitu golongan bangsawan dan golongan hamba..Golongan pertama boleh melakukan apa sahaja terhadap golongan kedua.Apabila berlaku hijrah nilai-nilai masyarakat jahiliyah itu telah dihapuskan dan diganti dengan nilai-nilai murni yang berasaskan akidah,syariah dan akhlak. Hidup berpuak-puak diganti dengan hidup sosial yang bersatu padu dalam bentuk ummah.Dalam sistem sosial baru Islam ini setiap orang diberikan hak dan kebebasan tanpa mengira agama,kaum dan keturunan.
 Selepas hijrah ekonomi umat Islam semakin mantap dan kukuh.Walaupun pada peringkat awalnya mengalami sedikit kesusahan,akan tetapi dengan usaha dan kerjasama penduduk tempatan di Madinah menyebabkan masalah ini dapat diatasi dengan mudah;Islam menggalakkan umatnya berusaha dan bekerja untuk mendapatkan rezeki yang halal.

 Dengan semangat hijrah Nabi Muhammad SAW itu tadi telah memberi dorongan dan perangsang kepada umat Islam berhijrah,belayar,meneroka ke kawasan-kawasan yang lebih jauh merentasi benua dan lautan samudera untuk tujuan Tiga P yang dinyatakan di atas.Oleh itu, tidak hairanlah pada abad ke-9M bidang geografi dan pelayaran telah dikuasai sepenuhnya oleh umat Islam,pada zaman itu dan zaman berikutnya lahirlah tokoh-tokoh ahli pelayaran Islam seperti al-Mas`udi,Ibn Battutah,Ibn Majid dan ramai lagi,seperti yang akan dinyatakan di bawah,yang telah berjaya menghasilkan bahan-bahan penyelidikan serta teori-teori yang berkaitan dengan ilmu geografi dan ilmu pelayaran.
 Menerusi peristiwa hijrah juga telah melahirkan tahun Hijrah dalam takwim Islam iaitu bermula dari tarikh hijarh orang Islam dari Makkah ke Madinah pada 1 Muharam 1H (bersamaan 16 Julai 622M).Penentuan tahun Hijrah dibuat pada zaman Khalifah `Umar bin al-Khattab pada tahun 17H (638M).Satu daripada tujuannya ialah untuk mengingati peristiwa hijrah yang penuh pengajaran dan hikmat itu.Tujuan selanjutnya ialah bagi memudahkan urusan pentadbiran negara.
 Sejak terbentuknya takwim Islam segala urusan pentadbiran negara Islam telah berjalan lancar;pada waktu itu jugalah catatan-catatan peristiwa yang menjadi bahan sejarah direkodkan mengikut kronologi atau turutan haribulan dan tahun Hijrah.
 Takwim Hijrah mengikut peredaran bulan (lunar-qamariyah) dan dalam setahun mengandungi 12 bulan atau 354 hari (berbanding dengan takwim Masihi 365 hari).Perbezaan ini disebabkan kerana takwim Islam mengikut peredaran bulan,sementara takwim Masihi mengikut peredaran matahari.Bilangan hari dalam bulan Islam kurang daripada bilangan hari dalam bulan Masihi.Hari dalam bulan Islam hanya antara 29-30 hari sahaja.Misalnya,bulan Muharam menagndungi 30 hari,diikuti bulan Safar 29 hari,bulan Rabiulawal 30 hari,Rabiulakhir 29 hari,demikianlah sterusnya hingga ke bulan Zulhijjah 29 hari.Sementara bulan Masihi mengandungi antara 30-31 hari (kecuali bulan Februari 28 atau 29 hari).Berdasarkan kaedah ini menyebabkan perbezaan antara takwim Islam dan takwim Masihi secara kasarnya 11 hari dalam setahun (atau 36h hari dalam tempoh 33 tahun).Suatu formula telah dibuat bagi menukarkan tahun Masihi ke tahun Hijrah atau sebaliknya. Daripada takwim ini juga ilmu yang berkaitan dengan pelayaran dan penjelajahan telah dikembangkan kepada ilmu-ilmu yang khusus tentang alam seperti goegrafi dan astronomi.Kedua-dua ilmu ini telah diperkenalkan dan diperluaskan lagi bidang kajiannya oleh tokoh-tokoh pelayar Islam sejak abad ke-9M hinnga 15M.

KESIMPULAN
Daripada huraian yang telah diberikan tadi,dapatlah disimpulkan bahawa penjelajahan dan penerokaan amat penting dari perspektif Islam.Kepentingan penjelajahan dapat dilihat dalam konteks dakwah,keilmuan,politik,ekonomi dan kebudayaan.
 Namun begitu,dari segi konsep ia amat berbeza dengan penjelajahan dan penerokaan Barat. Penerokaan dan penjelajahan yang dibuat oleh umat Islam tidak terlepas daripada batas-batas yang ditentukan Al-Quran dan Sunah.
 Seterusnya, peritiwa menyambut Awal Muharam pada setiap tahun oleh umat Islam,khususnya di Malaysia,ialah untuk memperingati sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan kaum Muhajirin dari kota Makkah ke kota Madinah.Majlis sambutan ini bukan sahaja sekadar mengenang perjuangan Baginda malah dapt mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang memahami sebenar-benarnya konsep hijrah.Di samping itu,ia dapat memberikan keinsafan dan kesedaran kepada umat Islam betapa besarnya cabaran dan perjuangan Baginda dan para sahabatnya dalam menegakkan ajaran agama Islam.Di samping itu,ia juga boleh dijadikan contoh dalam konteks kehidupan manusia hari ini.
 Menurut Y.B. Dato’ Haji Hamdan Syeikh Tahir,iaitu tokoh Maal Hijrah pada tahun 1995 (1416H), hijrah merupakan perintis jalan ke arah dakwah Islamiah yang menjadi satu daripada asas pendidikan terpenting untuk membangunkan manusia dan kemanusiaan yang berteraskan nilai-nilai murni. Contohnya,sistem pendidikan hari ini telah berubah dari sistem tradisional kepada era baru yang bercorak pembangunan teknologi maklumat.Ini jelas menunjukkan bahawa proses hijrah telah berlaku dalam sistem pendidikan hari ini.
 Jika difikir secara rasional nyatalah bahawa penghijrahan itu adalah didorong dan didesak oleh keperluan untuk mencari sesuatu yang lebih baik dan lebih menguntungkan demi kebahagian dan kesejahteraan mereka.Sememangnya,Islam membenarkan mencari alternatif dalam menyelesaikan masalah.Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT,Surah al-`Ankabut,ayat 56 yang bermaksud:
WAHAI HAMBA-HAMBA-KU YANG BERIMAN!SESUNGGUHNYA BUMI-KU INI LUAS,OLEH ITU SEMBAHLAH AKU SAHAJA.
 Sesungguhnya,peristiwa Hijrah menyimpan seribu satu rahsia yang perlu diselidiki dan disingkap oleh umat Islam.Sebagaimana Allah SWT menghendaki kita mengkaji dan menyelidik apa yang wujud di antara langit dan bumi.Begitu juga kita harus mengkaji apa yang terpendam dan tersirat di sebalik peristiwa hijrah ini.Oleh itu,umat Islam harus mengambil ikhtibar daripada penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan menjadikan inspirasi dan dorongan semangat kepada kita dalam meneruskan perjuangan hidup serta memberi keinsafan serta kesedaran dalam diri sendiri.Jelasnya,perubahan sikap serta minda umat Islam penting dalam menghayati konsep hijrah yang sebenarnya.

No comments:

Post a Comment